FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Nurul Sabrina Jamali


Kuala Lumpur: Idea Perdana Menteri yang mahu Kementerian Pendidikan menubuhkan jawatankuasa khas dalam subjek sains serta teknologi mendapat sokongan banyak pihak.

Pengerusi Pusat Kajian Pembudayaan Stem Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Mohamad Sattar Rasul bersetuju dengan cadangan itu memandangkan peratusan jumlah murid serta pelajar menurun dalam subjek sains dan teknologi.

"Menurut data pihak kami, hanya 19 peratus murid dan pelajar yang mengambil subjek ini berikutan sesetengah stigma masyarakat berpendapat mata pelajaran itu susah untuk dipelajari.

"Sekiranya kita tidak segera mempromosikan subjek ini, kita akan berdepan masalah yang akan menyebabkan negara kekurangan pekerja yang terbentuk dalam bidang sains dan teknologi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, doktrin yang mengatakan subjek matematik serta sains susah adalah punca utama murid dan pelajar mengelak mengambil mata pelajaran itu.

"Pihak kami mendapati mereka takut mengambil subjek itu disebabkan pembelajarannya berorientasikan peperiksaan.

"Mereka bimbang sekiranya menghadapi masalah tidak ada kekuatan kompetitif yang tinggi kerana terpaksa menghafal dan melakukan latihan yang banyak," katanya.

Beliau berkata, ahli jawatankuasa penubuhan pasukan khas ini perlu merangkumi pakar dalam bidang sains, teknologi dan institusi pengajian tinggi.

Katanya, pendekatan dalam kelas boleh ditingkatkan bagi menarik minat murid dan pelajar mengambil subjek sains dan teknologi.

"Jika dahulu mereka ditekankan dengan cara pembelajaran secara penulisan nota, kita boleh ubah corak pembelajaran itu dengan berorientasikan projek dan konsep Pembelajaran Melalui Pembuatan," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam meminta Kementerian Pelajaran menubuhkan pasukan khas bertujuan menyuntik semula semangat anak-anak untuk kembali meminati sains serta teknologi.

Beliau dilaporkan berkata, dunia sedang mengorak langkah ke arah teknologi canggih, namun pelajar kini kurang meminati sains dan teknologi.

Mengulas lanjut, Pensyarah Kanan Jabatan Asas Pendidikan Fakulti Pengajian Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Tajularipin Sulaiman berpendapat penubuhan jawatankuasa khas itu adalah wajar memandangkan tahap minat murid dan pelajar terhadap dua subjek terbabit kini membimbangkan.

Katanya, subjek sains, matematik dan teknologi dianggap sebagai mata pelajaran sukar, membosankan dan membebankan murid.

"Oleh itu, guru perlu mempunyai idea menarik dan kreatif bagi mewujudkan suasana pembelajaran dan memberikan pengalaman sebenar yang berlaku dalam kehidupan seharian murid dan pelajar.

"Sebagai contoh, keadaan elektromagnet yang mewujudkan kawasan tanpa geseran digunakan untuk pergerakan keretapi laju," katanya.

Beliau berkata, konsep sains dan teknologi perlu diaplikasikan dalam permasalahan yang paling asas dan mudah difahami oleh murid dan pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 4:39 PM