Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Pendekatan baharu bagi menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran Sains dan Matematik perlu dilakukan supaya mata pelajaran teras itu tidak menjadi subjek yang dianggap sukar untuk dikuasai oleh pelajar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kajian terbaharu yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendapati minat pelajar terhadap kedua-dua mata pelajaran itu menurun.

Justeru, beliau menggesa supaya KPM dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) mencari kaedah supaya keadaan itu diperbetulkan.

"Harus ada pendekatan baharu seperti mendapatkan pandangan ahli Sains dan badan-badan penyelidikan untuk turun padang ke sekolah, politeknik, (institusi kemahiran) Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekolah vokasional untuk menambah minat anak-anak, bukan sahaja daripada penceritaan guru-guru tetapi penekanan terhadap kepentingan Sains, Matematik serta Teknologi.

"Saya harap ini dapat dilaksanakan walaupun telah ada permulaan, tetapi, saya selalu menekankan kalau kita guna kaedah mesyuarat dan penyelarasan seperti biasa, kita akan ketinggalan zaman," katanya ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia 2023 (MCY Summit 2023), di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, kejayaan negara yang mencatat potensi pelaburan baharu perlu seiring dengan sinergi pendidikan dan latihan.

Menurutnya, beliau turut menemui badan induk selain Mesyuarat Majlis Sains Negara serta Mimos Bhd bagi mencari kaedah untuk memanfaatkan sepenuhnya bidang berkaitan bagi memberi pendedahan dan latihan kepada pelajar.

Menyentuh mengenai bidang TVET, beliau berkata, latihan melalui sinergi pendidikan dengan syarikat swasta dan badan pendidikan yang lain membolehkan pendapatan lulusan TVET dapat ditingkatkan sekurang-kurangnya pada kadar RM2,800 hingga RM3,000 sebulan bagi membolehkan mereka hidup selesa, berbanding purata RM2,000 kini.

Pada masa sama, beliau berkata kerajaan juga menekankan aspek peningkatan kemahiran kepada tenaga pengajar TVET dengan kumpulan itu perlu diberikan latihan untuk memantapkan penyampaian kepada pelajar

ANWAR berucap ketika Majlis Perasmian Sidang Kemuncak MCY Summit. FOTO Mihamad Shahril Badri Saali
ANWAR berucap ketika Majlis Perasmian Sidang Kemuncak MCY Summit. FOTO Mihamad Shahril Badri Saali

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 4:09 PM