SAMBUTAN Hari Guru kali ini bertemakan ‘Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara MADANI’. FOTO Arkib NSTP
SAMBUTAN Hari Guru kali ini bertemakan ‘Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara MADANI’. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-53 pada tahun ini akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC), Kuantan, Pahang selama tiga hari bermula 14 Mei ini.

Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata sambutan kali ini yang bertemakan 'Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara MADANI' itu dijadual dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata antara objektif sambutan Hari Guru pada kali ini adalah untuk mendedahkan kepada masyarakat awam tentang pentingnya peranan guru dalam membangunkan anak bangsa untuk menjadikan negara maju.

"Keduanya kita mahu tarik perhatian ibu bapa, murid dan orang ramai tentang peranan guru. Guru disebut sebagai ejen perubahan dalam masyarakat.

"Selain itu, hasrat kita melalui sambutan ini adalah untuk memupuk perpaduan dan muhibah dalam kalangan guru, selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan apa yang terkandung dalam Rukun Negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Temu Bual Radio di Bernama Radio bertajuk 'Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara MADANI' hari ini.

Azman berkata sepanjang tiga hari program, pelbagai aktiviti dirancang dilaksanakan bukan sahaja melibatkan penyertaan guru dan murid, tetapi juga ibu bapa, komuniti dan masyarakat dengan lima kluster diketengahkan.

"Kluster berkenaan ialah kluster jasmani, kluster intelektual, kluster bakat, kluster rohani dan kluster apresiasi. Bagi kluster apresiasi, acara kemuncak adalah penyampaian anugerah utama iaitu Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan dan Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan," katanya.

Beliau berkata bagi guru cemerlang dari segi penciptaan kandungan digital, Anugerah Khas Pendidikan akan diberikan.

Dalam perkembangan berkaitan, Azman berkata dalam Dasar Pendidikan Digital yang diperkenalkan pada akhir 2023, fokus diberikan kepada perancangan, pelaksanaan, dan inisiatif program berkaitan digital bertujuan memastikan anak-anak memiliki kecekapan digital yang memadai selain menyesuaikan diri dengan kehidupan yang semakin berkembang melalui teknologi digital.

Oleh itu, katanya penting bagi guru-guru untuk memiliki kecekapan digital yang tinggi dan menguasai segala aspek pengetahuan dan kemahiran berkaitan digital.

"Sebab itu bila kita sebut 'Guru Jauhari Digital', ia membawa konotasi bahawa sekumpulan guru yang mahir berkaitan penggunaan digital dan dapat mengintegrasikan aspek digital dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 8:44 PM