Mohd Rafi Mamat

Kuantan: "Hari ini sangat besar ertinya kerana selepas bebas, saya dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga tersayang," kata seorang lelaki yang mahu dikenali Anuar.

Banduan berusia 28 tahun itu antara 38 banduan yang dibebaskan dari Penjara Penor, dekat sini dan Penjara Bentong, melalui program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) sempena Aidilfitri di Wisma Sendayan, Penjara Penor, hari ini.

Menurutnya, sudah lama dia menunggu peluang keemasan untuk menyambut satu Syawal bersama keluarga selepas mahkamah menjatuhkan hukuman tujuh bulan penjara kerana kesalahan dadah.

"Aidilfitri kali ini begitu bermakna buat saya apabila berpeluang menyambutnya bersama keluarga, saya berjanji untuk tidak lagi terbabit dengan dadah selepas ini yang memusnahkan hidup saya.

"Ini kali ketiga saya menjalani hukuman di Penjara Penor, kali pertama pada usia 19 tahun dengan hukuman selama 10 bulan, kedua selama dua tahun bersama tiga sebatan dan ketiga tujuh bulan," katanya yang berasal dari felda di Maran.

Beliau yang sebelum ini menjalankan perniagaan makanan berkata, hukuman kali ketiga ini akan menjadi yang terakhir dia berada di sebalik tirai besi yang banyak mengajarnya erti keinsafan.

"Saya bersyukur dan mengucapkan terima kasih pada Penjara Penor yang memilih saya pada program PBSL kali ini," katanya yang ingin membuktikan kepada keluarga dan masyarakat dia kini sudah insaf.

DATUK Abu Hasan Hussain (kanan) bertemu banduan Penjara Penor dan Bentong pada program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL). FOTO Mohd Rafi Mamat
DATUK Abu Hasan Hussain (kanan) bertemu banduan Penjara Penor dan Bentong pada program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL). FOTO Mohd Rafi Mamat

Bagi Zaidi, 48 kehadiran ibu menyambut pelepasannya hari ini menambahkan lagi semangatnya untuk insaf dan tidak terbabit lagi dengan dadah.

"Saya akui tersalah memilih haluan apabila terbabit dengan dadah ketika bekerja dengan sebuah hotel terkemuka di daerah ini. Terlalu ikutkan hati akhirnya saya ditangkap dan dijatuhkan hukuman penjara tujuh bulan.

"Cukuplah sekali pengalaman berada di Penjara Penor, ia banyak mengajar saya erti keinsafan dan peluang kedua kini menanti dengan sokongan keluarga," katanya yang untuk membuka kedai makan selepas ini.

Sementara itu, Pengarah Penjara Pahang, Datuk Abu Hasan Hussain yang ditemui pada program PBSL sempena Aidilfitri di Wisma Sendayan, Penjara Penor, berkata PBSL membabitkan penghuni yang mempunyai jumlah baki hukuman kurang daripada lima bulan.

"PBSL yang dijalankan itu membantu mengurangkan kesesakan penghuni di Penjara Penor yang semakin meningkat.

"Sebelum ini PBSL hanya diberikan untuk tempoh seminggu saja sebelum mereka datang semula ke penjara dan menghabiskan baki hukuman, tetapi pemberian PBSL kali ini dilanjutkan sehingga ke tarikh pembebasan mereka.

"Bagaimanapun, penghuni perlu melaporkan diri di Pejabat Parol dan Perkhidmatan Komuniti berdekatan dan datang semula ke pejabat parol sama untuk menandatangani surat pembebasan pada tarikh pembebasan mereka tanpa perlu ke penjara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 1:31 PM