BANDUAN (tengah)  bertemu keluarga pada Program Jalinan Kasih sempena Aidilfitri di Penjara Penor. FOTO MOHD RAFI MAMAT
BANDUAN (tengah) bertemu keluarga pada Program Jalinan Kasih sempena Aidilfitri di Penjara Penor. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Kerinduan tujuh penghuni Penjara Penor di sini, terhadap insan tersayang terubat apabila mereka dipertemukan dalam Program Jalinan Kasih sempena Aidilfitri, semalam.

Kebanyakan yang hadir pada majlis itu termasuk kakitangan penjara tidak dapat menahan sebak dan mengalirkan air mata tatkala menyaksikan saat banduan berpelukan dengan ahli keluarga.

Apatah lagi, ada antara yang terpilih pada hari itu sudah lama tidak bersemuka dengan insan tersayang.

Bagi Hasan, 62, (bukan nama sebenar), dia cukup bertuah apabila isteri, anak dan cucunya sentiasa memberi perhatian terhadap diri yang dijatuhkan hukuman 15 tahun penjara selepas kerana kesalahan dadah pada 2014.

Dia yang sebelum ini menjalani hukuman di Penjara Bentong berkata, sayu dan sedih apabila berpeluang bertemu ahli keluarga pada program itu.

"Walaupun isteri, anak dan cucu sebelum ini sentiasa datang ke Penjara Penor untuk bertemu dengan saya, namun perasaan terharu dan sebak tidak sama pada program jalinan kasih sempena Aidilfitri ini.

"Sudah lama saya tinggalkan keluarga kerana menjalani hukuman dan hampir ke tali gantung kerana mengedar dadah jenis heroin kira-kira setengah kilogram (kg), namun Tuhan memberi peluang untuk terus hidup selepas mendapat pengampunan," katanya yang berasal dari Pulau Pinang.

Hasan menambah, dia kini insaf dan bertaubat untuk tidak mengulangi kesilapan lalu.

Bagi Daud, 51 (bukan nama sebenar), dia amat gembira apabila berpeluang bertemu anak dan cucu serta bekas isteri pada program jalinan kasih kali ini.

"Saya tidak menyangka terpilih untuk menyertai program jalinan kasih sempena Aidilfitri kali ini, sebelum ini perasaan bimbang muncul sekiranya keluarga tidak berminat untuk bertemu.

"Hati saya begitu gembira apabila dapat bertemu anak perempuan yang membawa bersama anaknya," katanya yang dikenakan hukuman 16 tahun penjara dan 15 rotan kerana kesalahan merogol anak tiri pada 2017.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Penjara Penor, Penguasa Penjara Ahmad Ikhwan Naim Mohd Zin berkata, hanya tujuh banduan terpilih untuk diraikan bersama 20 ahli keluarga.

"Majlis ini adalah peluang untuk mereka bertemu dan memeluk semua ahli keluarga secara bersemuka, seterusnya mengeratkan silaturahim selepas sekian lama tidak berjumpa.

"Sebelum ini, mereka hanya berkomunikasi melalui interkom atau panggilan telefon sahaja tetapi kali dapat duduk bersama sambil menikmati juadah nasi minyak dan kuih raya yang disediakan penjara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2023 @ 10:16 AM