ABU Hasan (dua dari kanan) bertemu lima banduan yang dibebaskan pada program PBSL Ihsan Madani , 'Kepulangan Yang Dinanti' sempena Deepavali. FOTO Mohd Rafi Mamat
ABU Hasan (dua dari kanan) bertemu lima banduan yang dibebaskan pada program PBSL Ihsan Madani , 'Kepulangan Yang Dinanti' sempena Deepavali. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Lima banduan Penjara Penor, di sini, dan Penjara Bentong dibebaskan hari ini menerusi program Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan Madani , 'Kepulangan Yang Dinanti' sempena Deepavali, Ahad ini.

Pembebasan itu membabitkan dua banduan dari Penjara Penor dan tiga banduan dari Penjara Bentong termasuk seorang wanita, yang masing-masing terbabit dengan kes dadah, kemalangan menyebabkan kematian dan mencuri.

Bagi, Ayu, 45, peluang dibebaskan awal dari penjara sempena program itu akan dijadikannya semangat untuk membina kehidupan baharu yang lebih bermakna selepas tiga kali keluar masuk penjara.

"Saya akui tersalah memilih haluan hidup apabila terbabit dengan dadah sejak remaja, terlalu ikutkan hati akhirnya saya ditangkap buat kali ketiga dan dijatuhkan hukuman penjara 13 bulan di Penjara Bentong.

"Pengalaman menghuni Penjara Bentong banyak mengajar saya erti keinsafan, peluang pembebasan ini akan saya manfaatkan sebaiknya terutama apabila diterima bekerja dengan pusat kecantikan," katanya ketika ditemui dalam program yang dirasmikan Pengarah Penjara Pahang, Datuk Abu Hasan Hussain di bilik mesyuarat Penjara Penor, dekat sini hari ini.

Bagi banduan dikenali sebagai Harun, 42 berasal dari Pasir Putih, Kelantan dia dikenakan hukuman tiga tahun dan denda RM6,000 selepas terbabit dengan kemalangan menyebabkan kematian pada 2018.

Harun bersyukur dibebaskan lebih awal menerusi program PBSL sempena Deepavali kerana dia sepatutnya bebas pada Mei tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 1:55 PM