M Hifzuddin Ikhsan

Sungai Petani: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang secara kebiasaan diadakan pada hari raya pertama tidak akan diadakan di Seri Perdana pada tahun ini.

Sebaliknya, Anwar berkata, beliau akan hadir Majlis Rumah Aidilfitri anjuran agensi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi membolehkannya mendekati lebih ramai rakyat negara ini.

Katanya, sebagai permulaan beliau akan menghadiri Majlis Rumah Terbuka peringkat negeri di Kedah yang dijadual berlangsung pada 29 April ini.

"Perdana Menteri tidak akan adakan majlis Aidilfitri di Seri Perdana, tetapi setelah difikirkan lebih baik kita turun ke bawah iaitu dari negeri ke negeri sama ada anjuran Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri.

"Kita ada minat sikit dengan Alor Setar kerana saya diberitahu makanan di Alor Setar jauh lebih lazat daripada tempat lain," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar Kementerian Dalam Negeri (KDN) Madani di sini, hari ini.

ANWAR berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin MADANI serta Pusat Penjaja MADANI di Desa Tasik Sungai Besi, hari ini. FOTO Bernama
ANWAR berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin MADANI serta Pusat Penjaja MADANI di Desa Tasik Sungai Besi, hari ini. FOTO Bernama

Sementara itu, Anwar memaklumkan pihaknya sudah menghantar nama calon untuk mengisi kekosongan jawatan Ketua Audit Negara.

Beliau berkata, proses itu perlu melalui beberapa prosedur sebelum nama calon berkenaan dapat dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Semua urusan sudah diselesaikan, saya menghantar cadangan nama tersebut dua minggu lalu," katanya.

Sebelum ini, jawatan Ketua Audit Negara disandang Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid yang melepaskan jawatannya pada 23 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 9:12 PM