Mohd Amin Jalil

Seremban: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hanya memberi keutamaan kelulusan status kewarganegaraan bagi kategori anak angkat dan lahir sebelum merdeka.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kategori anak angkat paling banyak diterima daripada keseluruhan 133,436 permohonan, yang masih diproses setakat ini.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan jumlah permohonan kategori berkenaan.

Katanya, bagi kategori yang lahir sebelum merdeka juga perlu diberikan keutamaan kerana rata-rata mereka yang terbabit sudah mencecah usia 70 dan 80 tahun dengan jumlah permohonan setakat ini sekitar 3,000.

"Kita (KDN) bertekad untuk memberikan keutamaan kepada kategori anak angkat yang paling banyak diterima dan ada kalangan mereka ini membuat permohonan sejak lebih 12 tahun lalu.

"Satu lagi kategori yang sedang dipertimbangkan untuk beri keutamaan ialah yang lahir sebelum merdeka dengan kalangan mereka ini yang mencecah umur 70 dan 80 tahun," katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar KDN Madani di sini, malam ini.

SAIFUDDIN Nasution ketika ditemui selepas Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar KDN Madan. FOTO Mohd Amin Jalil
SAIFUDDIN Nasution ketika ditemui selepas Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar KDN Madan. FOTO Mohd Amin Jalil

Saifuddin berkata, KDN menyasarkan untuk menyelesaikan sekurang-kurangnya 10,000 daripada keseluruhan permohonan bagi mendapatkan status kewarganegaraan sehingga akhir tahun ini.

"Setakat tiga bulan ini, saya sudah meluluskan 6,079 permohonan kewarganegaraan," katanya.

Mengenai kes membabitkan rawatan pesakit kanser Lina Samuel yang dilaporkan baru-baru ini, beliau berkata, KDN akan membantu memudah cara bagi membolehkan individu terbabit memiliki dokumen yang sah.

"Kewajipan JPN akan membantu memudahcarakan kerana setakat ini berlaku cacamarba berkaitan dokumen Lina apabila dalam sijil lahir dan MyKad tercatat warganegara yang berbeza," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 10:23 PM