Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kerajaan menerima kira-kira 150,000 permohonan bagi mendapatkan status kewarganegaraan setakat ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya mensasarkan untuk menyelesaikan sekurang-kurangnya 10,000 permohonan sehingga akhir tahun ini.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 5,700 sudah memperoleh keputusan sama ada diluluskan atau sebaliknya.

"Apa kes yang kita tolak, misalnya permohonan itu dia masuk tapi tak pernah tinggal di sini, dia tinggal di luar.

"Jadi dia tidak ada komitmen untuk tinggal di sini, jadi apa pun alasan, dia masukkan permohonan contohnya atau dokumentasi dia tidak lengkap," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penerapan Nilai-nilai Murni dan Iftar KDN Madani di Pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Saifuddin berkata, pihaknya harus meneliti setiap permohonan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Katanya, KDN tidak akan berkompromi dengan aspek keselamatan serta ketulenan pemohon.

"Dalam proses membuat pertimbangan sebelum membuat keputusan, kami tidak akan berkompromi soal misalnya aspek keselamatan negara, soal ketulenan sesuatu permohonan yang diangkat, pemohon mesti harus menunjukkan komitmen yang jelas bahawa dia akan tinggal di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 10:26 PM