ANWAR beramah mesra bersama tetamu yang hadir pada Majlis penerapan Nilai-Nilai Murni dan Sambutan Hari Raya KDN Madani di  MAEPS Serdang. FOTO Asyraf Hamzah.
ANWAR beramah mesra bersama tetamu yang hadir pada Majlis penerapan Nilai-Nilai Murni dan Sambutan Hari Raya KDN Madani di MAEPS Serdang. FOTO Asyraf Hamzah.
Amir Abd Hamid


Serdang: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi penegasan bahawa Kerajaan Perpaduan Madani diterajuinya perlu ada anjakan mengenai tatakelola pentadbiran dan penguatkuasaan membanteras rasuah dan ketirisan.

Beliau berkata, selain itu kerajaan mestilah sentiasa menambah baik prestasi perkhidmatan kepada rakyat dan menjamin adanya pengagihan yang adil ketika memacu pertumbuhan ekonomi.

"Sebab itu selalu dalam Jemaah Menteri, saya tegur supaya diperbaiki, pasti ada jalannya. (Ini termasuk) seperti (sistem) di lapangan terbang dan di sempadan negara.

"Tadi kita ada bincang (dalam mesyuarat) Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa soal penyeludupan masih tinggi, hilang (ketirisan minyak diesel bersubsidi) minyak diesel adalah RM10 bilion setahun.

"Jumlah (kehilangan) ini boleh bina universiti, boleh baiki rumah penginapan polis, tentera, penjara... sebab itu saya minta kepada badan penguatkuasaan kena berjalan dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Sambutan Hari Raya Kementerian Dalam Negeri (KDN) Madani di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahmad Zahid, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul.

Anwar berkata, apabila beliau menegur, tidaklah bermakna tiada kebaikan yang sudah dilaksanakan kerana selama ini negara aman dan institusi berjalan dengan baik berbanding di beberapa negara.

"Tetapi tentunya kita sebagai manusia, rumusan satu maksud hadis Nabi Muhammad SAW, maknanya mesti ada hasrat keinginan cuba untuk sedaya mungkin untuk cemerlang," katanya.

Menurutnya, terdahulu dalam mesyuarat MTEN beliau ada membangkitkan, adalah mustahil mempunyai kerajaan baharu dan pendekatan baharu Madani tetapi tidak ada anjakan.

"Orang tengok tidak ada perubahan sama sahaja. Tukar kerajaan tukar Perdana Menteri, bocor (ketirisan) banyak itu juga, rasuah ramai juga, yang sakau jadi amalan.

"Siapa jadi Perdana Menteri dia kaya, siapa jadi Menteri Kewangan dia lagi kaya... jadi kita kena hentikan. Saya tak peduli, bab ini saya akan lawan habis-habisan.

"Saya minta bagi kerjasama yang sebaiknya (kepada semua kakitangan KDN dan agensinya). Terima kasih atas semua sumbangan dan khidmat. Ada yang tak ternama, tak terukir, tiada berita tetapi khidmat saudara tetap kita akui dan hargai. Semoga Allah SWT memberikan kita hidayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 3:19 PM