SITI Nur Huda bersama bapanya, Mohd Fadli. FOTO Aswadi Alias
SITI Nur Huda bersama bapanya, Mohd Fadli. FOTO Aswadi Alias
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: "Saya dan abah sebak apabila membaca komen positif selain sokongan yang diberikan selepas kisah keluarga kami disiarkan Harian Metro," kata Siti Nur Huda Mohd Fadli.

Siti Nur Huda, 31, berkata, bapa, Mohd Fadli Mohd Yusof, 57, juga tidak menyangka penerimaan orang ramai sangat baik sekali gus ia dapat membantu menaikkan semangat individu sepertinya.

Menurutnya, perkongsiannya berhubung kisah itu bukan untuk membuka pekung di dada sebaliknya

mahu masyarakat membuka mata mengenai bekas banduan termasuk menerimanya tanpa stigma.

"Kami baca semua komen orang ramai dan sebak kerana tiada komen yang negatif sebaliknya semua yang memberi sokongan. Abah juga sebak dengan semua sokongan itu.

"Fokus saya sekarang mahu menjaga abah dengan baik dan dia juga sekarang ada masalah kesihatan," katanya ketika dihubungi Harian, hari ini.

Katanya, mereka sekeluarga menghargai dan turut berterima kasih kepada mereka yang menyokong dan tanpa henti memberi semangat kepadanya.

"Untuk mereka yang mempunyai ahli keluarga yang keluar dari penjara janganlah pernah rasa malu dan tidak menerima mereka sebab kita semua manusia yang tidak lari daripada melakukan kesilapan.

"Seharusnya kita memberi semangat dan sokongan supaya mereka dapat teruskan hidup secara normal dekat luar dan mereka juga perlukan semangat dan sokongan dari ahli keluarga sendiri," katanya.

Muka depan Harian Metro semalam melaporkan kisah Siti Nur Huda yang gembira kerana dapat menyambut Aidilfitri bersama bapa tersayang selepas 13 tahun terpisah di sebalik tirai besi.

Bapanya, Mohd Fadli dibebaskan dari penjara pada 2 Disember lalu dan kini tinggal bersama Siti Nur Huda di Kota Damansara, dekat sini.

Namun, Siti Nur Huda bersama empat adiknya hiba kerana saat dinanti sejak sekian lama tidak dapat dirasai ibu, Kamaliah Ali, 51, yang terlebih dulu dijemput Ilahi pada November 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 2:47 PM