GAMBAR kenangan keluarga Firas (depan, kiri) ketika arwah ayahnya masih hidup. FOTO Ihsan Siti Nurul Aini Khamis.
GAMBAR kenangan keluarga Firas (depan, kiri) ketika arwah ayahnya masih hidup. FOTO Ihsan Siti Nurul Aini Khamis.
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lipis: "Kalau abah tiada nanti, Firas buat kepuk kubur abah boleh?" Itu 'gurauan' Mohd Isa Saad kepada anaknya, Mohamad Adiffiras, 11, sebelum meninggal dunia 30 Julai tahun lalu.

Kini, Mohamad Adiffiras, 11, menunaikan janjinya apabila membina kepuk kubur dengan kudrat sendiri untuk Mohd Isa, 52, yang menghembuskan nafas terakhir kerana kencing tikus.

Kanak-kanak itu membuat kepuk untuk kubur bapa tersayang pada Januari lalu dan mengambil masa 20 hari untuk menyiapkannya dengan mengangkut bata dari rumah menggunakan basikal saja

Kisah Mohamad Adiffiras atau mesra disapa Firas itu menarik perhatian warganet selepas video mengenainya dimuat naik di TikTok Akhmar Salehudin, Isnin lalu serta meraih 1.3 juta tontonan.

Berkongsi cerita, Firas yang tinggal di Felda Kechau 1 di sini berkata, dia membina kepuk berkenaan kerana tidak mahu kubur bapa 'hilang' disebabkan mendapan tanah selepas hujan, serta mahu menunaikan janjinya.

Menurutnya, dia menyiapkan kepuk itu selama 20 hari secara sendirian dengan ditemani ibunya, Siti Nurul Aini Khamis, 38.

"Firas sayang, rindu dan selalu ingat abah, Firas tak mahu 'rumah' abah hilang macam rumah kakak, sebab itu buat kepuk untuk kubur abah.

"Lagipun Firas sudah janji nak buat kepuk abah tapi tak boleh tempah (dengan tukang) sebab tak ada duit, Firas kecil lagi," katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi.

Firas berkata, dia tidak mempunyai kemahiran membuat kepuk, namun mengakui melukis kepuk dan melihatnya di kubur sebelum membuatnya.

KEPUK kubur yang dibuat Firas dengan kudratnya sendiri. FOTO Ihsan Siti Nurul Aini Khamis.
KEPUK kubur yang dibuat Firas dengan kudratnya sendiri. FOTO Ihsan Siti Nurul Aini Khamis.

"Firas sebenarnya nak buat kepuk berwarna putih tetapi tak mampu sebab itu buat pakai simen dan bata saja. Firas nak jadi (anggota) bomba bila besar nanti dan mahu cantikkan rumah abah," katanya yang rapat dengan bapanya.

Sementara itu, Siti Nurul Aini berkata, dia sudah melarang anaknya membina kepuk sendiri tetapi melihat kesungguhan Firas, dia terpaksa akur.

Menurutnya, kepuk itu dibuat dengan niat tidak mahu kubur arwah suami hilang kerana selepas seminggu disemadi, kubur itu menjadi rata disebabkan hujan, yang membuatkan Firas sedih.

"Firas sedih dan menangis kerana dia tidak mahu kubur suami hilang seperti kubur anak sulung saya yang meninggal dunia selepas dilahirkan dan ketika itu juga masih belum ada batu nisan.

"Firas kayuh basikal dengan bawa dua hingga tiga bata dari rumah ke kubur. Mulanya dia buat guna tanah merah saja tetapi tidak melekat dan saya belikan tiga kilogram simen," katanya.

Katanya, sebelum ini, suami ada bergurau meminta Mohamad Adiffiras membuat kepuk kuburnya jika dia sudah meninggal dunia, ketika mereka melawat kubur anak sulung di Johor.

"Kubur anak sulung tiada batu nisan dan susah juga nak mencarinya dan perlu dibantu penjaga kawasan itu. Firas cakap kasihan kubur kakaknya 'hilang' dan kalau dekat dia mahu buat kepuk kakaknya.

"Suami yang mendengar luahan itu, saja-saja cakap minta dia buatkan kepuk bila abahnya meninggal dan dia (Firas) setuju," kata suri rumah yang mempunyai seorang lagi anak perempuan berusia tujuh tahun.

Menurutnya, anaknya belajar membuat kepuk itu dengan melihat video dalam talian dan menganggap ia sudah cukup sempurna meskipun bukan di mata orang lain.

"Firas minta bapa saudaranya menempah batu nisan, cuma kepuk, kami tak mampu. Dia cuma mahu rumah abahnya cantik dan bertanda.

"Firas cakap ketika arwah abahnya ada, semua yang dia mahu akan dibelikan. Sebab itu dia mahu tunaikan janji kepada abahnya," katanya tidak bekerja dan dibantu Jabatan Kebajikan Masyarakat dan zakat sebanyak RM650 sebulan.

Berhubung video tular itu, Siti Nurul Aini yang turut mempunyai masalah saraf mata dan cyst di rahim mengakui terkejut dan tidak menyangka anaknya mendapat perhatian selepas video itu dimuat naik.

Katanya, individu yang memuat naik video itu juga ada meminta maaf kepadanya, namun dia tidak menyalahkan pemuda itu, tetapi bimbang sekiranya ada pihak tidak senang dengan tindakan anaknya.

"Saya bimbang orang marah dengan tindakan Firas tetapi setakat ini tiada siapa tegur. Saya berterima kasih dengan komen yang baik dan mendoakan keluarga kami serta arwah suami," katanya.

Sementara itu, Akhmar berkata, niatnya memuat naik video Firas di akaun TikToknya hanya untuk berkongsi cerita dan kegigihan kanak-kanak lelaki itu yang juga sekampung dengannya.

Katanya, dia pernah melihat Mohamad Adiffiras mengayuh basikal sambil membawa bata, dan menyangka kanak-kanak itu mahu menyusun bata saja di kubur bapanya.

"Saya sebak melihat usaha Firas dalam usia yang masih muda tetapi sudah mampu berfikir seperti itu, malah ada penduduk kampung terutama yang berusia turut menangis melihat usahanya itu," katanya yang memaklumkan sudah ada individu yang mahu menaja membuat kepuk kubur bapa Firas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 9:33 PM