Mat Nasir Mamat, 65, menanggung kerinduan terhadap isteri Norlida Yaacob, 60, yang meninggal dunia kerana pneumonia pada 16 Mei lalu. FOTO IHSAN SITI NUR AQIRAH.
Mat Nasir Mamat, 65, menanggung kerinduan terhadap isteri Norlida Yaacob, 60, yang meninggal dunia kerana pneumonia pada 16 Mei lalu. FOTO IHSAN SITI NUR AQIRAH.
Noor Hidayah Tanzizi


Pasir Puteh: "Abah beli nasi dan mungkin dia terlupa yang cinta hatinya iaitu maa (ibu) sudah tiada. Abah lihat katil maa lama sangat, kemudian dia menangis.

"Saya tahu abah sangat rindukan maa dan itu kali pertama saya lihat abah menangis seperti itu kerana dia bukan seorang yang senang mengalirkan air mata," kata Siti Nur Aqirah Mat Nasir.

Siti Nur Aqirah, 27, berkongsi kisah bapanya, Mat Nasir Mamat, 65, menanggung kerinduan terhadap isteri, Norlida Yaacob, 60, yang meninggal dunia kerana pneumonia, 16 Mei lalu.

Pemilik butik pakaian terbabit berkongsi video yang memaparkan bapanya sedang bersedih di TikTok dan mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya turut bersedih serta merasai kerinduan warga emas itu.

Menurutnya, pemergian ibu tersayang meninggalkan kesan mendalam kepada mereka adik beradik, namun ia lebih dirasai bapa yang berkongsi hidup hampir 40 tahun dengan wanita itu.

Katanya, dia mengakui kesedihan bapanya itu bukan kerana tidak reda dengan pemergian ibu sebaliknya menerima kehilangan insan tersayang perlu mengambil masa bagi kebanyakan individu.

"Selepas maa meninggal dunia, abah memang nampak agak sugul dan sememangnya sebelum ini, setiap pagi dia akan keluar beli nasi untuk maa.

"Hari kedua maa tiada, abah buat rutin itu seperti biasa dan mungkin dia lupa cinta hatinya sudah tiada.

"Saya nampak abah tengok katil maa dan menangis sebelum saya rakam untuk dijadikan kenangan kami," katanya yang tinggal di Kampung Jeram, di sini.

Menurutnya, sejak arwah ibunya sakit tujuh tahun lalu, bapanya tidak pernah meninggalkan wanita itu dan sentiasa berada di sisinya.

"Sebelum ini, maa diserang angin ahmar dan tak boleh berjalan, jadi abah yang akan mengangkat maa ke tandas atau ke mana yang dia mahu. Kami juga ada di rumah membantu menjaga maa mengikut giliran.

"Sekarang kami tidak tinggalkan abah berseorangan dan abah nampak semakin baik, mungkin kerana anak dan cucu berada di sisinya. Abah juga melawat kubur maa setiap pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 1:10 PM