MUHAMMAD Qaish, 11, dikhabarkan mempunyai baki hayat lima bulan selepas sel kansernya merebak hingga ke otak. FOTO Ihsan Ahmad Mohd Zin.
MUHAMMAD Qaish, 11, dikhabarkan mempunyai baki hayat lima bulan selepas sel kansernya merebak hingga ke otak. FOTO Ihsan Ahmad Mohd Zin.
Noor Hidayah Tanzizi


Baling: Dunianya terasa gelap gelita, malah hati bagai hancur berkecai apabila doktor memaklumkan jangkaan hayat anak sulung yang menghidap leukemia ALL (Acute Lymphoblastic Leukemia) hanya berbaki lima bulan.

Impian Ahmad Mohd Zin, 42, yang mahu melihat Muhammad Qaish, 11, membesar dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain juga terhenti apabila mendapat khabar duka itu selepas mengharungi perjuangan melawan kanser sejak 2019.

Ahmad berkata, dia melalui episod sukar bersama isteri, Hasmah Ahmad, 42, selepas dimaklumkan perkembangan penyakit anak sulung daripada empat beradik itu, 17 Mei lalu.

Katanya, biarpun mereka sekeluarga menerima takdir itu dengan reda, dia tetap mengharapkan keajaiban berlaku supaya Muhammad Qaish dapat meneruskan kehidupan dengan sihat.

"Ketika diberitahu mengenai perkara itu kami memang terkejut dan saya terdiam kerana perasaan itu sukar digambarkan, manakala isteri menangis. Kami melalui saat yang sangat berat.

"Tetapi kami kuatkan juga semangat untuk beritahu Qaish (nama panggilan Muhammad Qaish) mengenai perkara itu dan ketika saya beritahu dia hanya diam serta tidak menunjukkan sebarang reaksi.

"Saya cakap dengan dia selagi kita boleh berusaha dan berubat kita akan buat, kuatkan semangat dan dia hanya mengangguk. Anak saya, Muhammad Qaish seorang yang kuat sepanjang empat tahun diuji sakit ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

MUHAMMAD Qaish (dua, kiri) bersama keluarganya. FOTO Ihsan Ahmad Mohd Zin.
MUHAMMAD Qaish (dua, kiri) bersama keluarganya. FOTO Ihsan Ahmad Mohd Zin.

Menurut Ahmad, dalam reda menerima ketentuan itu, ia sangat perit untuk ditelan bukan hanya buatnya dan isteri, bahkan dia percaya Muhammad Qaish juga sukar menghadapinya.

"Qaish melakukan pemeriksaan lanjut untuk mengetahui keadaan penyakitnya itu dan mengambil air tulang belakang. Ketika itu Qaish ada mengadu pada saya yang rawatan itu menyakitkan dan tidak mahu buat rawatan lagi selepas ini.

"Sehari selepas itu kami dimaklumkan yang jangka hayat Qaish hanya lima bulan saja dan sel kanser juga sudah merebak sehingga ke otak.

"Sel kanser dalam badan Qaish merebak dengan cepat dan kini dia berstatus paliatif kerana sudah tiada rawatan boleh dilakukan. Tiada siapa yang sanggup mendengar kenyataan itu dan saya percaya Qaish juga begitu, namun kami menerimanya," katanya yang tinggal di Kampung Charok Bemban, Kupang, di sini.

Bercerita lanjut mengenai penyakit anaknya, Ahmad yang mengambil upah kerja bendang berkata, anaknya didiagnosis luekimia ALL pada 2019 dan selepas menjalani rawatan selama setahun, keadaannya baik.

Bagaimanapun katanya, sel kanser kembali menyerang pada 2021 dan Muhammad Qaish terpaksa menghentikan rawatan kemoterapi pada Julai tahun lalu kerana badannya sudah tidak dapat menerimanya selain turut berlaku komplikasi.

"Sepanjang empat tahun perjuangannya, saya sanggup berhenti kerja di sebuah kilang untuk menguruskannya dan menemaninya di hospital ketika menjalani rawatan, sementara isteri yang berkerja sebagai kerani menguruskan tiga anak lain.

CIKGU Mohd Fadli Salleh bersama beberapa rakannya menyantuni Muhammad Qaish dan memberinya hadiah permainan video. FOTO Ihsan Ahmad Mohd Zin.
CIKGU Mohd Fadli Salleh bersama beberapa rakannya menyantuni Muhammad Qaish dan memberinya hadiah permainan video. FOTO Ihsan Ahmad Mohd Zin.

"Tempoh itu juga menyaksikan Qaish berusaha untuk kuat melawan sakitnya, malah dia pernah tak sedarkan diri selama lima hari sebelum ini.

"Pada saya, kami bukan kalah dalam perjuangan ini sebaliknya rezeki tidak memihak kepada kami tetapi saya menerima ujian ini dan berharap ada keajaiban," katanya.

Ahmad berkata, tempoh lima bulan ini adalah saat berharga buat mereka dan doktor juga menasihatkan untuk sentiasa menjaga emosi Muhammad Qaish.

Katanya, dia akan berusaha menunaikan hasrat anak kesayangannya yang berkongsi tarikh lahir bersamanya pada 10 Ogos.

"Sebelum ini Qaish pernah cakap dia teringin memiliki permainan video dan menaiki kereta 'sport'. Saya cakap kalau abah dan mummy (ibu) mampu, nanti kami usahakan dan dia hanya cakap 'ok' kerana memahami keadaan keluarga kami," katanya.

Katanya, kisah anaknya juga mendapat perhatian sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa individu yang bermurah hati termasuk Cikgu Zahran dan Cikgu Mohd Fadli Salleh bersama beberapa rakannya yang sudi merealisasikan hasrat anaknya.

"Qaish belajar mengaji dengan kakak Cikgu Zahran dan apabila mendapat tahu mengenai keadaan anak, mereka membantu menunaikan permintaan Qaish memiliki permainan video dan menaiki kereta 'sport'.

"Saya sangat bersyukur dan berterima kasih dengan kemurahan hati mereka terutama Cikgu Mohd Fadli dan rakannya yang sudi menceriakan Qaish dan anak juga gembira apabila permintaannya itu tercapai juga akhirnya," katanya.

Terdahulu, Cikgu Mohd Fadli berkongsi kisah Muhammad Qaish di Facebooknya dan dia bersama beberapa rakan menyantuni kanak-kanak itu dan keluarganya.

Mereka menunaikan permintaan Muhammad Qaish yang menginginkan permainan video serta bersiar-siar di ibu kota dengan menaiki jentera diimpikan kanak-kanak lelaki itu, Ahad lalu.

Bagi yang ingin membantu boleh menghubungi Ahmad di talian 019-5521251.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 12:00 PM