M Hifzuddin Ikhsan

Alor Setar: "Kita bukan batang pisang, kita juga ada pengiraan dan strategi untuk hadapi mereka," kata Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Perikatan Nasional (PN) mampu menang sehingga 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Mahdzir berkata, setiap parti politik mempunyai strategi masing-masing dalam membuat persiapan dan merancang gerak kerja tertentu menjelang PRN Kedah yang dijangka berlangsung pada Julai ini.

"Kita ada taktikal dan data yang akan diguna pada PRN nanti, kita tahu mana satu kawasan yang mempunyai jumlah pengundi Melayu ramai atau tidak, dari situ kita boleh buat perkiraan dan rancang strategi.

"Dengan sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kita yakin menang pada PRN. Kita akan bekerja sebagai pasukan dan saya yakin kita dalam landasan tepat dan sasaran kita jelas," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu Mahdzir bersama Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar hadir Mesyuarat Bersama BN dan PH yang secara rasmi bersetuju membentuk Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah secara rasmi.

MAHDZIR (tiga dari kiri) bersama Mahfuz (dua dari kiri) serta kepimpinan kedua-dua parti di Bangunan Tunku, Alor Setar hari ini. FOTO Syaharim Abidin
MAHDZIR (tiga dari kiri) bersama Mahfuz (dua dari kiri) serta kepimpinan kedua-dua parti di Bangunan Tunku, Alor Setar hari ini. FOTO Syaharim Abidin

Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Pengerusi Umno negeri, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri, Nor Azrina Surip dan Pengerusi DAP negeri, Tan Kok Yew.

Mahdzir berkata, rakyat Kedah berpeluang membuat perubahan pada kerajaan negeri pada PRN akan datang, bagi memastikan pentadbiran Kedah selari dengan pimpinan di Putrajaya.

Katanya, terdapat perbezaan antara PRN dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu, apabila pengundi mempunyai lebih banyak pilihan bagi memilih parti yang akan membentuk Kerajaan Persekutuan ketika ini.

"Kita tidak salahkan rakyat ketika PRU-15 kerana waktu itu ada perlumbaan untuk tubuhkan kerajaan antara BN, PN dan PH. Di akhirnya kita lihat BN dan PH membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat.

"Ini bermakna Kedah menjadi pembangkang kepada Putrajaya ketika ini, kedua-dua boleh bekerjasama, tetapi adalah lebih baik kerajaan di Putrajaya dan Alor Setar adalah sama. Peluang untuk tubuhkan kerajaan itu ada, mengapa tidak ubah bagi sama," katanya.

Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Padang Terap itu menjelaskan, rundingan mengenai pembahagian kerusi antara BN dan PH belum dimuktamadkan lagi, namun kerangka bagi proses itu sudah difahami dalam kalangan parti komponen.

Sementara itu, Mahfuz menjelaskan, pihaknya tidak berhadapan masalah dalam melakukan rundingan bersama BN, walaupun terdapat dakwaan sebelum ini mengatakan adalah sukar berunding bersama gabungan itu.

"Pas yang susah berunding dengan Umno sebelum ini, kami tidak ada masalah. Saya mula jumpa Tok Det (Mahdzir) di rumahnya untuk bincang perkara asas dan disusuli pertemuan hari ini, selepas ini akan diadakan rundingan kerusi dan konvensyen.

"Selepas itu, kita boleh lihat sasaran berapa kerusi yang PH dan BN boleh menang. Saya yakin kerajaan perpaduan dapat mengambil alih Kedah, selepas ini Kedah Madani akan menyusuli Malaysia Madani," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 3:45 PM