MAHFUZ Omar. FOTO arkib NSTP
MAHFUZ Omar. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Pengerusi Pakatan Harapan Kedah, Datuk Mahfuz Omar menganggap gelombang hijau sudah semakin menurun dengan mendakwa gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) sudah menguasai 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.

Beliau berkata, gelombang hijau yang digembar-gemburkan sebelum ini hanyalah gelombang perkauman dan keagamaan yang sempit semata-mata.

"Kita sekarang sedang berusaha untuk meraih kembali sokongan pengundi yang dahulunya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak berpuas hati dengan PH dan BN.

"Saya percaya bahawa sudah berada dalam tangan kita 16 kerusi yang berpotensi untuk menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

"Kita perlu berusaha untuk capai tiga lagi kerusi dan Insya-Allah kita akan dapat balik pengundi yang lari dulu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai pembahagian kerusi membabitkan parti komponen dalam gabungan PH dan BN, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, parti itu diberikan lapan kerusi untuk bertanding pada PRN di Kedah.

Katanya, DAP pula berkemungkinan akan bertanding dua kerusi DUN manakala PKR dan BN masih terdapat kerusi yang perlu dibincangkan.

"Setakat bulan lalu yang saya tahu hanya satu lagi kerusi yang belum selesai pengagihan antara PKR dan BN, Tapi saya tidak ada maklumat lengkap berapa jumlah sebenar setiap parti yang akan bertanding. Itu akan diserahkan kepada majlis gabungan kepimpinan perpaduan di peringkat nasional," katanya.

Mahfuz berkata, gabungan PH dan BN kini sedang giat membentuk kesefahaman dan kesepakatan bagi menghadapi PRN.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2023 @ 11:44 AM