Datuk Seri Mahdzir Khalid. FOTO Syaharim Abidin
Datuk Seri Mahdzir Khalid. FOTO Syaharim Abidin
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Barisan Nasional (BN) Kedah akur dengan kekalahan dan menerima keputusan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN), semalam.

Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, BN tetap berterima kasih kepada seluruh rakyat Kedah dan pada masa sama, menzahirkan ucapan tahniah kepada Perikatan Nasional (PN) yang berjaya membentuk kerajaan negeri.

"Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh jentera BN yang sudah bertungkus lumus dan bekerja keras sepanjang kempen PRN kali ini.

"Kita akur dan menerima kekalahan ini kerana inilah adat pertandingan. Akan ada pihak yang kalah dan ada yang menang," katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Mahdzir berkata, BN tetap berlapang dada dan menghormati keputusan rakyat Kedah yang menolak untuk meletakkan kepercayaan di tangan Kerajaan Perpaduan bagi mentadbir negeri.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah turut menasihatkan semua ahli Umno dan BN Kedah untuk tidak menyalahkan mana-mana pihak atas kekalahan pada PRN kali ini.

Mahdzir yang juga calon Dewan Undangan Negeri (Dun) Pedu tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN)-Pas yang juga penyandang kerusi, Mohd Radzi Md Amin dengan majoriti 6,373 undi.

Beliau memperoleh 8,024 undi, ketinggalan agak jauh dengan Mohd Radzi yang meraih 14,397 undi.

Mantan Menteri Besar Kedah itu pernah bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pedu selama dua penggal pada 2004 hingga 2013.

Selain Mahdzir, dua nama besar PH-BN yang turut tewas ialah Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar dan Pengerusi DAP negeri, Tan Kok Yew.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 9:54 AM