Noorazura Abdul Rahman


Padang Terap: Kerajaan negeri disarankan agar menggunakan pendekatan rundingan bagi menyelesaikan isu antara Kedah dan Pulau Pinang.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata dakwaan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Pulau Pinang adalah hak milik Kedah berpunca daripada tuntutan caj air mentah terhadap Pulau Pinang yang sudah berlarutan sekian lama.

"Ya saya fikir dia hanya bermula daripada bekalan air, sumber bekalan air dari Kedah yang pergi pada Pulau Pinang.

"Air tu daripada hulu Kedah mengalir (melalui) Sungai Muda yang hujungnya ada sempadan antara Kedah dan Pulau Pinang, itu yang jadi pertikaian yang panjang dan sudah lama.

"Jadi saya fikir paling baik adalah bawa berunding untuk menyelesaikan (isu) antara Pulau Pinang dan negeri Kedah...saya ingat sandaran yang Menteri Besar pakai itu mungkin atas bayaran (pajakan) yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kedah bukan kerajaan Pulau Pinang," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke- 7, Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF) Wilayah Alor Setar, di Dewan Felda Lubuk Merbau di sini, hari ini.

Mahdzir Khalid (tengah) beramah mesra warga felda selepas merasmikan Majlis Mesyuarat Agung Tahunan kali ke 7/2023. FOTO Syaharim
Mahdzir Khalid (tengah) beramah mesra warga felda selepas merasmikan Majlis Mesyuarat Agung Tahunan kali ke 7/2023. FOTO Syaharim

Mahdzir berkata, tuntutan caj air mentah terhadap Pulau Pinang juga pernah dibangkitkan ketika beliau menjawat jawatan itu.

Bagaimanapun katanya, pendekatan pada masa itu berbeza apabila pihaknya mengadakan rundingan.

"Cara kita bangkit pada waktu itu kita duduk di meja kita, kita berunding, ada yang boleh diberi perhatian dan ada benda yang dia ada pro dan kontralah, bila kita buat analisa kita dapati ada juga perkara yang kemungkinan kita tak dapat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2023 @ 1:30 PM