MAHDZIR Khalid. FOTO arkib NSTP
MAHDZIR Khalid. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Barisan Nasional (BN) negeri yakin gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan mampu menguruskan Kedah lebih baik daripada Perikatan Nasional (PN) sekiranya diberikan mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ini kerana pemerintahan seiring dengan Kerajaan Persekutuan akan memberi lebih manfaat kepada rakyat Kedah.

"Kita hendak (kerajaan negeri) sama dengan Kerajaan Persekutuan, yang terbaik kita jadi kerajaan sama (iaitu) Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.

"Jika kita ada semangat yang sama, kita boleh ambil Kedah daripada PN, (malah mampu) menguruskan (negeri) sebenarnya lebih baik daripada apa yang PN ada," katanya di sini, hari ini.

Mahdzir berkata, beliau turut yakin usaha menjajarkan pentadbiran kerajaan negeri dan persekutuan dapat direalisasikan melalui kempen 'kalih bagi sama' (tukar bagi sama).

Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, kerajaan negeri harus bekerjasama secara terbaik dengan Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan pelbagai pembangunan dapat dilaksanakan seperti lima perkara yang digariskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kelmarin.

Katanya, Kedah adalah jelapang padi dan seharusnya dijadikan jelapang makanan utama dalam memastikan keterjaminan makanan untuk rakyat Malaysia.

"Padi ini bukan saja perniagaan agro tetapi perlu diletakkan sebagai sektor emas. Apabila ia menjadi sektor emas saya yakin lebih ramai anak muda akan terbabit dalam bidang pertanian.

"Kerajaan gabungan PH dan BN harus menjadikan ini sebagai agenda kita iaitu kita perlu memanggil pulang anak-anak muda kita agar mereka dapat bersama-sama menjadikan sektor pertanian ini sebagai sektor yang mampu menjana pendapatan yang lumayan," katanya.

Menyentuh mengenai pendidikan maahad tahfiz di negeri ini, bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, maahad tahfiz di negeri ini sememangnya memerlukan latihan kemahiran termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Yang ada sekarang ini kebanyakan hanya fokus kepada hafalan saja, takkan depa ini nak berebut jadi tok imam saja, jadi kita perlu beri kemahiran seiring dengan kepesatan pembangunan di Kulim Hi-Tech termasuk untuk memenuhi era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

"Dalam masa sama saya optimis gabungan parti komponen PH dan BN di Kedah juga mampu mengatasi masalah bekalan air yang turut diperlukan dalam sektor industri seperti di Kulim Hi-Tech, jika bekalan air bermasalah, bagaimana pelabur nak datang, " katanya.

Kelmarin media melaporkan Kerajaan Perpaduan menggariskan lima perkara yang akan diberi keutamaan untuk rakyat Kedah sekiranya gabungan PH dan BN berjaya mengambil alih negeri itu dalam PRN akan datang.

Ahmad Zahid berkata, lima perkara itu membabitkan perniagaan agro, pendidikan maahad tahfiz, TVET, isu bekalan air serta usaha menaik taraf kemudahan telekomunikasi bagi meningkatkan ekonomi dan keupayaan modal insan rakyat Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 11:58 AM