Noorazura Abdul Rahman


Sungai Petani: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar menepis khabar angin bahawa beliau bakal dilantik menjadi Menteri Besar sekiranya PH menang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu juga berkata, beliau tidak akan menjadi wajah hadapan atau poster boy untuk gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) di Kedah.

"Sudah tentu saya tidak akan menjadi poster boy untuk PH Kedah, jika saya dilantik sebagai Menteri Besar pula pasti ada yang akan dimasukkan ke wad gila.

"Sekarang pun (orang itu) sudah separuh gila," katanya tanpa menamakan siapa individu berkenaan ketika ditemui selepas sesi meja bulat membabitkan parti komponen PH dan BN Kedah, di sini, malam tadi.

Mahfuz berkata, apa yang lebih penting bagi PH dan BN adalah Menteri Besar Kedah selepas ini harus datang daripada gabungan Kerajaan Perpaduan bagi memastikan ia selari dengan aspirasi Kerajaan Pusat.

Mengulas mengenai tindakan Perikatan Nasional (PN) yang menamakan Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai poster boy gabungan itu pada PRN akan datang, beliau berkata, perkara itu sudah dijangkakan.

"Itu sudah dijangka, mereka tidak ada calon lain yang lebih baik. Satu-satunya calon yang mereka ada ialah lelaki berkenaan," katanya.

MAHFUZ Omar. FOTO arkib NSTP
MAHFUZ Omar. FOTO arkib NSTP

Semalam, media melaporkan Muhammad Sanusi akan dilantik semula ke jawatan Menteri Besar Kedah sekiranya PN menang di negeri ini pada PRN akan datang.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, Muhammad Sanusi juga akan menjadi wajah hadapan atau poster boy parti itu pada PRN yang dijangka diadakan pada Julai depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 9:25 AM