Noorazura Abdul Rahman

Sungai Petani: Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah menerima semua senarai calon yang akan mewakili parti itu di enam negeri yang bakal mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, senarai itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat, sebelum diumumkan pada 21 Julai ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

"Ia (senarai calon) dikemukakan oleh pengerusi perhubungan negeri enam negeri. Mereka mengemukakan tiga nama bagi tiap-tiap Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kita tandingi.

"Kita akan muktamadkan, hari pengumuman (calon) dan watikah kepada calon itu akan kita adakan pada malam 21 Julai di PWTC," katanya pada sidang media selepas melancarkan jentera BN dan UMNO di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, gerak kerja jentera Umno untuk pilihan raya kali ini akan dimulakan di semua peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Saya memberi pengarahan untuk kita bergerak bagi semua peringkat. Kita membuat keputusan mulai di peringkat lokaliti (cawangan), terus di DUN dan peringkat bahagian. Ini adalah satu pengarahan baharu yang saya turunkan ke bawah," katanya.

AHMAD Zahid (dua, kiri) ketika mengadakan perjumpaan bersama jentera pilihan raya Umno/BN hari ini. Turut hadir,  Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid (kiri). FOTO Bernama
AHMAD Zahid (dua, kiri) ketika mengadakan perjumpaan bersama jentera pilihan raya Umno/BN hari ini. Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid (kiri). FOTO Bernama

Ketika ditanya mengenai kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar bahawa gabungan itu mampu meraih 16 kerusi pada PRN nanti, Ahmad Zahid mengingatkan seluruh jentera agar tidak leka dan bekerja keras menawan hati pengundi sehingga saat akhir.

"Saya fikir sebelum kita berusaha sehingga ke saat akhir pada hari mengundi, kita jangan bersifat mendahului hukum Allah.

"Walaupun saya tidak ada perbezaan pendapat dengan beliau (Mahfuz) atau mana-mana pemimpin, tetapi eloklah yang penting kita bekerja keras dahulu.

"Baru kita boleh memberitahu bahawa kita berada di garis paling hadapan untuk memenangi mana-mana pilihan raya DUN di enam negeri ini terutamanya di Kedah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 6:44 PM