MOHAMED Khaled pada sidang media selepas Sesi Townhall Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
MOHAMED Khaled pada sidang media selepas Sesi Townhall Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi jaminan Akta Universiti Teknologi Mara (UiTM) atau Akta 173 akan dipinda bagi memberi lebih kebebasan dan autonomi kepada mahasiswanya.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata ini kerana UiTM tidak tertakluk kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 seperti mana universiti awam lain.

"Memang benar UiTM tak tertakluk kepada AUKU tetapi banyak fasal dalam Akta UiTM itu mirip kepada fasal dalam AUKU. Jadi kita kita mahu pinda AUKU, Akta UiTM juga perlu dipinda. Kita akan pinda akta terbabit supaya ia mirip dengan pindaan yang dilakukan ke atas AUKU.

"Takkanlah kalau kita pinda AUKU, Akta UiTM tak dipinda, nanti ada pula gerakan daripada UiTM yang menuntut dan mendesak menteri untuk pinda Akta UiTM supaya sama dengan AUKU," katanya pada sesi Townhall AUKU di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal.

Mohamed Khaled berkata, jika Akta UiTM tidak dipinda, universiti itu akan ketinggalan berbanding universiti awam lain yang tertakluk di bawah AUKU.

Katanya, jika pindaan tidak dibuat, ia mungkin mengundang masalah serupa termasuk wujud tuntutan daripada kumpulan pendesak seperti mana AUKU.

"Jika tidak UiTM akan terkebelakang atau (nanti mahasiswa) cabar menteri untuk berdebat.

"Jika kita boleh capai sesuatu dengan kita duduk, kita runding, kita berbincang, tak perlulah kita nak berdebat untuk mencari siapa yang menang dan siapa yang kalah," katanya.

Terdahulu, menerusi sesi townhall itu, beberapa mahasiswa membangkitkan mengenai kebebasan pelajar UiTM kerana universiti terbabit tidak tertakluk di bawah AUKU.

Dalam perkembangan berasingan, Mohamed Khaled berkata, semua institusi pengajian tinggi mengikut garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung Covid-19.

"Mungkin di sekolah, tetapi apa pun kita ikut garis panduan dikeluarkan KKM," katanya ketika ditanya mengenai peningkatan kes Covid-19 terutama membabitkan kluster pendidikan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 1:57 PM