Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak menolak cadangan memberi kelonggaran untuk mana-mana parti politik menubuhkan cawangan mereka di kampus universiti.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelbagai pindaan sudah dilakukan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 membabitkan kegiatan penuntut, urus tadbir universiti dan sebagainya.

"Memang kita memberi kebebasan kepada pelajar untuk menyertai mana-mana parti politik di dalam atau luar kampus termasuk pelajar menawarkan diri bertanding dalam pilihan raya.

"Jadi, semua perkara itu sudah dilonggarkan dan kemungkinannya termasuk perkara seperti dicadangkan Yang Berhormat," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) sama ada KPT akan memberi kelonggaran untuk pertubuhan parti politik menubuhkan cawangan mereka di kampus universiti bagi menyuburkan amalan demokrasi dan membudayakan politik matang selaras dengan usaha reformasi pendidikan.

Menjawab soalan tambahan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Kuching) mengenai ada beberapa peruntukan yang menyekat kebebasan penuntut universiti di bawah AUKU, Mohamed Khaled memberi jaminan sebarang kelemahan dalam AUKU akan dipertimbangkan.

"Antara perkara sedang dipertimbang untuk pinda soal persatuan pelajar untuk urus sendiri akaun kewangannya.

"Ia dalam proses dan cuba bawa dalam penggal Parlimen akan datang," katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, kerajaan tiada cadangan memansuhkan AUKU, maka amalan sedia ada berkaitan lantikan Naib Canselor Universiti Awam (UA) akan diteruskan seperti sebelumnya.

"Pelantikan Naib Canselor sesebuah universiti awam dilakukan oleh Menteri dengan mengikut prosedur dan ketetapan akta yang diluluskan oleh Parlimen dan Aktanya ialah Akta AUKU 1971," katanya ketika menjawab soalan Muhammad Islahuddin mengenai amalan lantikan Naib Canselor memberi autonomi kepada universiti mengundi calon pilihan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 12:04 PM