Faizul Azlan Razak


Kuala Nerus: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak menyekat mahasiswa di negara ini menyokong dan terbabit dalam parti politik termasuk berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya cuma tidak membenarkan mahasiswa membawa politik kepartian masuk ke dalam kampus.

"Tidak, kita bukan policeman (anggota polis). Mereka (mahasiswa) bebas dan tidak ada sekatan.

"Tapi, jangan bawa politik kepartian dalam kampus dan di luar jika mereka mahu bertanding, dia boleh bertandinglah.

"Tapi, tempoh hari tiada seorang mahasiswa menjadi calon," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pertukaran Dokumen Persefahaman antara Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan di UMT, di sini, hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar.

Mohamed Khaled berkata, pihaknya juga beberapa kali meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).

"Jadi, tidak timbul masalah kerana mahasiswa diberi kebebasan dan tiada sekatan kepada mereka termasuk menyokong mana-mana parti sekalipun," katanya.

Ditanya sama ada KPT akan menyediakan pengangkutan kepada mahasiswa pulang mengundi, beliau berkata, tiada keperluan berbuat demikian kerana kebanyakan penuntut sudah cuti semester

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 1:33 PM
MOHAMED Khaled melawat pameran selepas Majlis Pertukaran Dokumen Persefahaman antara UMT dan Persatuan Nelayan Kebangsaan. FOTO Faizul Azlan Razak
MOHAMED Khaled melawat pameran selepas Majlis Pertukaran Dokumen Persefahaman antara UMT dan Persatuan Nelayan Kebangsaan. FOTO Faizul Azlan Razak