Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Ka mate, ka mate! ka ora! ka ora! Itu jeritan yang sering didengar penulis ketika kali pertama menyambung pengajian di universiti pada 2007.

Tradisi pertandingan antara kolej kediaman dan fakulti yang dianjurkan mahasiswa dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar itu diterapkan kepada setiap penuntut yang baharu menyambung pengajian.

Malah, ada juga kolej kediaman membawa tarian perang secara tradisional dengan menerapkan unsur silat dan pelbagai lagi.

Penulis yang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Melaka suatu ketika dulu sentiasa menunggu acara Festival Kolej yang dianjurkan pada setiap semester kerana di situlah mahasiswa boleh menunjukkan kehebatan masing-masing selain berlagak ''hero' di hadapan mahasiswi.

Sebelum penganjuran majlis, pemimpin-pemimpin kolej kediaman dan felo kolej kediaman akan bermesyuarat bagi aturan festival berkenaan. Ketika festival berlangsung semua mahasiswa berarak dengan membawa tarian perang masing-masing yang mewakili kolej kediaman atau fakulti yang mereka wakili. Momen indah ini mungkin tidak lagi dirasai mahasiswa ketika ini atas beberapa faktor antaranya kekangan dalam berorganisasi dan pengurusan kewangan.

Hakikatnya, budaya pengurusan organisasi di Institut Pengajian Tinggi (IPT) kini dilihat semakin lemah kerana mahasiswa dilihat tidak memahami konsep sebenar dalam berorganisasi. Kepercayaan dan dorongan perlu diberikan kepada mahasiswa untuk menguruskan organisasi dengan lebih baik selain menggalakkan budaya berorganisasi mahasiswa.

Terkini, pindaan baharu AUKU melalui Rang Undang-Undang (RUU) Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2023 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 18 Mac 2024 antara usaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang patut dipuji.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir melihat langkah melaksanakan pindaan kepada AUKU 1971 adalah lebih realistik berbanding cadangan pemansuhan akta berkenaan sebelum ini.

Beberapa pindaan dilakukan meliputi Seksyen 15A (Memberi kebenaran kepada Majlis Perwakilan Pelajar dan Badan Pelajar untuk memungut wang atau menerima sumbangan lain); Seksyen 16B (Pertukaran Pihak Berkuasa Tatatertib Pelajar Universiti); Seksyen 48(4) Jadual Pertama (Tempoh lantikan Majlis Perwakilan Pelajar berdasarkan kalendar akademik); Seksyen 48(11) Jadual Pertama (Majlis Perwakilan Pelajar dibenarkan untuk menyenggara kumpulan wang).

Selain itu, Seksyen 48(12A) Jadual Pertama (Kuasa kepada Lembaga untuk membuat peraturan berkaitan pemungutan wang di Seksyen 15A); dan Seksyen 49(2) Jadual Pertama (Pemakaian peruntukan-peruntukan Seksyen 48 Majlis Perwakilan Pelajar kepada Badan Pelajar lain).

Secara ringkas, pindaan terkini ke atas Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang diluluskan ini menyaksikan ruang lebih besar untuk pelajar terbabit dalam kegiatan kampus.

Ia selari usaha kerajaan dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sendiri untuk terus memperkasa serta meningkatkan mutu mahasiswa. Langkah kerajaan menerusi KPT ini secara langsung dapat membuka satu lagi lembaran baru ke arah mencapai pemerkasaan mahasiswa secara total.

Ia boleh disifatkan sebagai langkah proaktif untuk menyegarkan gerakan yang diterajui oleh pelajar kepada pelajar sendiri sesuai dengan keupayaan mereka. Pindaan akta itu juga dilihat dapat memperkukuh daya kepemimpinan mahasiswa menerusi kecekapan pengurusan kewangan oleh badan pelajar. Merujuk Seksyen 15(A) yang dipinda, ia menguji keupayaan pelajar menguruskan kewangan dan sumber dana penting sebagai nilai tambah kepada pelajar.

Secara tidak langsung, ia membuka perspektif pelajar lebih luas dan menyerlahkan potensi dalam memberi perkhidmatan menyeluruh kepada seluruh pelajar. Pindaan turut membenarkan MPP universiti menyenggara kumpulan wang (akaun).

Pindaan terbaharu itu turut menyaksikan tindakan tatatertib ke atas pelajar di universiti awam tidak lagi tertakluk bawah kuasa naib canselor, sebaliknya akan diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar pula memperlihatkan pemantapan amalan tadbir urus yang lebih sistematik.

Pada akhirnya, usaha pembangunan karakter pelajar dari segi pencapaian akademik dan pembangunan sahsiah dapat dilaksanakan dengan memberi lebih banyak ruang untuk mereka berfikir secara kreatif, inovatif dan mencipta sesuatu yang baharu.

Mahasiswa kini bukan hanya menjadikan universiti sebagai tempat menuntut ilmu, malah ia juga adalah tempat pembentukan sahsiah dan pembangunan bagi membentuk landskap baru pendidikan.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 7:01 AM