MOHAMED Khaled Nordin (kanan sekali) merasmikan Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE) Tenusu UPM dan Farm Fresh Berhad di Ladang Tenusu, UPM.
MOHAMED Khaled Nordin (kanan sekali) merasmikan Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE) Tenusu UPM dan Farm Fresh Berhad di Ladang Tenusu, UPM.

Serdang: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan mengkaji dengan mendalam untuk meminda beberapa peruntukan yang terkandung dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kajian itu sedang dilaksanakan dan KPT akan melakukan pindaan itu secara menyeluruh dan bukan satu persatu.

Katanya, usaha itu memang selari dengan hasrat kementerian dan KPT akan memastikan semuanya berjalan dengan lancar kerana perlu menelitinya terlebih dahulu.

"Kita sedang mengkaji secara mendalam kerana kita nak melakukan pindaan secara menyeluruh, bukannya satu persatu.

"Perdana Menteri tak kata hapuskan, namun akan ada fasal-fasal peruntukkan yang berkisar kepada kebebasan dan autonomi akan dilihat dan mungkin dipinda.

"Oleh itu, kita hendak tengok secara menyeluruh apa lagi yang mahu dipinda," katanya kepada media di majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) di antara Farm Fresh Bhd dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor UPM, Datuk Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh, Azmi Zainal.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan akan menghapuskan peruntukan dalam Auku yang menyekat kebebasan mahasiswa dan pensyarah.

Perkara itu juga akan dibincangkan bersama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dibangkitkan salah seorang peserta Dialog Anak Muda-Temu Anwar yang memintanya menyatakan pendirian mengenai Auku.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 2:48 PM