Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Iskandar Ibrahim


Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang membuat perubahan kepada Seksyen 15 Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 bagi membolehkan mahasiswa berpolitik dengan lebih bebas.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, ia antara reformasi yang sedang diusahakan KPT untuk memberi tanggungjawab penuh dalam gerakan mahasiswa khususnya di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

"KPT sudah membuat beberapa perubahan dan penambahbaikan terutama dalam memperkasakan mahasiswa di IPTA di mana ia termaktub dalam AUKU.

"Kita sudah buat beberapa perubahan... tujuh kali kita lakukan dan kini kita sedang berusaha membuat perubahan di bawah Seksyen 15 (AUKU) berhubung urusan kewangan dan untuk mereka berpolitik secara bebas, di mana mereka boleh menyertai sebagai parti politik, malah menjadi calon (pilihan raya)," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Chow Yu Hui (PH-Raub) sama ada KPT akan mengembalikan kuasa autonomi kepada mahasiswa terutama membolehkan mereka mengadakan sendiri pilihan raya kampus, berbanding dikelola oleh Hal Ehwal Pelajar (HEP).

Menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) yang meminta KPT menyatakan langkah akan dilaksana untuk merealisasikan reformasi pendidikan di institusi pengajian tinggi, Mohammad Yusof berkata, kementeriannya kini sedang membentuk satu jawatankuasa khas yang akan bertanggungjawab membuat semakan dan kajian secara mendalam mengenai dasar pendidikan tinggi nasional.

Katanya, matlamat dan mandat utama jawatankuasa itu adalah untuk melihat kekurangan, kelemahan, malah kekuatan dasar sedia ada dan seterusnya memberikan saranan serta pandangan mereka.

"Dasar yang dilihat sudah tidak relevan akan dihentikan, dasar yang lemah akan ditambah baik dan diperkemas. Pada masa sama, dasar baharu yang dilihat relevan dan perlu berdasarkan cabaran dan perkembangan semasa, akan dicadangkan.

"Semua ini bertujuan memastikan pada peringkat dasar, kita mempunyai hala tuju dan pendirian yang jelas, kemas serta terbaik," katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa itu juga diberikan masa tiga bulan untuk mengemukakan dapatan dan saranan penambahbaikan yang bakal menjadi asas pembangunan pelan induk pendidikan tinggi negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 11:37 AM