Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Walaupun berdepan peningkatan harga barang yang tidak menentu, namun ia tidak menghalang Kelab Santuni Asnaf Kelantan (Kesan) untuk terus menyediakan pelbagai jenis lauk berbuka percuma kepada lebih 800 golongan asnaf.

Pengasasnya, Zurawati Zulkifli, berkata pihaknya bergotong-royong untuk memasak juadah lauk pauk pada setiap hari dan akan diteruskan selama 30 hari sehingga tamat bulan Ramadan bagi membantu golongan memerlukan.

Katanya, pihaknya menggunakan 60 ekor ayam atau 90 kilogram (kg) daging sehari untuk menyiapkan juadah dengan menu berbeza yang mana setiap hari akan disediakan satu jenis lauk untuk diagihkan.

"Sumbangan lauk pauk percuma sepanjang bulan puasa adalah aktiviti tahunan Kesan. Walaupun pihak kami berhadapan dengan kekangan kenaikan harga barang, tetapi usaha kebajikan tetap diteruskan hasil sumbangan orang ramai menerusi kelab ini.

"Tahun sebelum ini kami dapat menyediakan sehingga tiga jenis juadah tetapi kali ini hanya satu lauk pauk saja dan ia membabitkan kos sehingga RM3,000 sehari.

"Kami mengalu-alukan sumbangan daripada badan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang sudi menyalurkan sumbangan agar usaha kebajikan ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang," katanya ketika ditemui di pejabat.

ZURAWATI (tengah) bersama ibu tunggal bergotong-royong menyediakan juadah berbuka percuma kepada lebih 800 asnaf. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
ZURAWATI (tengah) bersama ibu tunggal bergotong-royong menyediakan juadah berbuka percuma kepada lebih 800 asnaf. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Kelab Santuni Asnaf Kelantan (Kesan), Tanjung Mas, di sini, hari ini.

Zurawati berkata, selain keluarga kurang berkemampuan, antara golongan lain yang menerima sumbangan lauk ialah anak yatim dan juga ibu tunggal.

Seorang penerima, Noriah Abd Rahman, 67, berkata dia bersyukur dan berterima kasih kerana Kesan sudi menyediakan lauk percuma sepanjang Ramadan sekali gus meringankan bebannya untuk membeli juadah berbuka.

"Sepanjang 12 hari berpuasa, tidak sekali pun saya melepaskan peluang mengambil lauk yang diberi. Malah kesemua menu yang disediakan begitu menyelerakan seperti sup daging, ayam masak merah, tom yam dan ayam kicap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 5:35 PM