Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Prihatin dengan nasib menimpa golongan asnaf, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan (KKAK) tetap meneruskan inisiatif mengedarkan makanan percuma kepada hampir 100 asnaf di sini pada setiap Jumaat, sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) ini.

Pengerusi Operasi KKAK, Zurawati Zulkifli, berkata, agihan secara 'take away' atau bawa pulang itu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang disarankan kerajaan bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Katanya, memberi makanan percuma kepada asnaf adalah program wajib setiap minggu bagi KKAK sejak Ogos 2015 lagi, namun kali ini berbeza kerana mereka mengambil secara 'take away' berbanding minggu biasa yang mana asnaf berdaftar boleh datang makan secara beramai-ramai pada setiap Jumaat.

"Biasanya, kami menerima hampir 500 individu daripada golongan kurang berkemampuan termasuk ibu tunggal dan anak yatim dari seluruh Kelantan, namun kerana PKP ia berkurangan dengan kedatangan asnaf dari kawasan sekitar Kota Bharu sahaja.

"Mereka boleh datang ke Rumah Asnaf KKAK, di Taman Damai, Tanjung Emas, di sini, bermula 2 petang hingga 5 petang untuk mengambil makanan yang siap dimasak. Selain itu, kami turut menyampaikan bekalan barang dapur hasil sumbangan orang ramai melalui KKAK.

"Setiap asnaf yang hadir diwajibkan memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal, memeriksa suhu badan serta mendaftar di aplikasi MySejahtera sebelum mengambil makanan dan sumbangan untuk dibawa balik," katanya ketika ditemui di Rumah Asnaf KKAK, di sini, hari ini.

Pengerusi Operasi KKAK, Zurawati Zulkifli, (kanan) menyampai sumbangan kepada salah seorang asnaf untuk dibawa pulang ketika ditemui di Rumah Asnaf di Taman Damai, Tanjung Emas, di sini, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Pengerusi Operasi KKAK, Zurawati Zulkifli, (kanan) menyampai sumbangan kepada salah seorang asnaf untuk dibawa pulang ketika ditemui di Rumah Asnaf di Taman Damai, Tanjung Emas, di sini, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA

Zurawati berkata, setiap asnaf yang datang sudah dimaklumkan untuk membawa bekas makanan sendiri bagi mengisi lauk pauk serta nasi yang sudah dimasak.

"Kami mengupah lima tukang masak dalam kalangan asnaf juga untuk menyediakan semua makanan ini. Sebelum ini, terdapat pelbagai aktiviti diadakan untuk asnaf setiap Jumaat seperti kelas mengaji, program ilmiah dan 'klinik' asnaf yang memberi ruang kepada mereka untuk meluahkan berkongsi masalah dengan kami.

"Namun disebabkan PKP, semua program dihadkan buat sementara waktu, namun kerja kebajikan masih diteruskan supaya asnaf tidak terabai. Kami berharap inisiatif ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban asnaf sepanjang tempoh getir ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 6:10 PM