DR Yuserrie (tengah) bergambar kenangan bersama pelajar.
DR Yuserrie (tengah) bergambar kenangan bersama pelajar.
Suliati Asri


MENYEDIAKAN makanan berbuka puasa kepada pelajar sudah menjadi aktiviti tahunan di kebanyakan institusi pengajian tinggi (IPT).

Tidak hanya diadakan bagi mengimarahkan bulan yang penuh keberkatan ini, tetapi bagi merapatkan ukhuwah antara kakitangan dan pelajar. Ia juga antara inisiatif dalam membantu pelajar terutama yang kurang berkemampuan.

1. Universiti Malaysia Pahang (UMP)

Di UMP, makan dalam adalah acara tradisi setiap kali Ramadan. Ia dengan menyediakan juadah berbuka puasa secara percuma menggunakan talam kepada warganya yang berbuka puasa di Masjid UMP di Gambang dan Pekan sejak lebih 10 tahun lalu.

Program makan dalam talam ini bukan saja dinanti-nantikan pelajar, tetapi ia juga pastinya menggamit nostalgia makan di atas talam terutama bekas penuntut UMP.

Seperti kebiasaan, juadah dihidangkan di dalam talam untuk dinikmati antara lima hingga enam orang.

Konsep bertalam ini diambil dari sunnah Rasullullah SAW yang banyak memberi manfaat dan merapatkan silaturahim antara satu sama lain.

Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Ts Dr Yuserrie Zaiuddin berkata, tradisi ini terus dikekalkan di UMP yang secara tidak langsung dapat merapatkan ukhuwah antara warganya.

"Lebih menarik, penyediaan memasak dijalankan secara bergotong-royong membabitkan staf dan sukarelawan pelajar secara bergilir-gilir mengikut jadual yang ditetapkan pada setiap hari sejak 1 Ramadan.

STAF dan pelajar UTeM mendapat peluang untuk menikmati juadah berbuka puasa yang disediakan secara gotong-royong.
STAF dan pelajar UTeM mendapat peluang untuk menikmati juadah berbuka puasa yang disediakan secara gotong-royong.

"Segala perbelanjaan hasil sumbangan staf secara tunai mahupun melalui potongan gaji dalam kalangan staf universiti yang berhasrat bersedekah dalam memanfaatkan bulan yang penuh keberkatan," katanya yang turut sama meluangkan masa bersama pelajar menyediakan juadah dan berbuka puasa di Masjid UMP.

Dr Yuserrie berkata, setiap hari, 2,000 pelajar akan dijamu dengan hasil sumbangan dari organisasi korporat, anak syarikat UMP, jabatan dan Tabung Ramadan Yayasan UMP yang diterima daripada pihak luar. Ia termasuk individu serta pihak korporat yang menyumbang untuk Tabung Ramadan melalui Yayasan UMP.

"Tahun ini sebanyak RM240,000 disasarkan dengan penyelarasan di bawah Pusat Islam & Pembangunan Insan (Pimpin) bagi tujuan penyediaan iftar kepada mahasiswa UMP sepanjang Ramadan ini.

2. Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)

Sementara itu, sebagai inisiatif untuk terus memberikan manfaat kepada pelajar terutama kepada golongan yang kurang berkemampuan, UTeM turut mengambil pendekatan melaksanakan aktiviti gotong-royong memasak bagi penyediaan juadah berbuka puasa 'Nasi Talam' secara percuma buat pelajar.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, dianjurkan sepanjang Ramadan, program ini dilihat berjaya dan seiring dengan objektif untuk mengimarahkan Ramadan yang istimewa buat semua warga pelajar dan kakitangan UTeM

SEBAHAGIAN kakitangan UTeM bergotong-royong memasak dan menyediakan  juadah berbuka puasa di Masjid Sayyidina Abu Bakar, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka.
SEBAHAGIAN kakitangan UTeM bergotong-royong memasak dan menyediakan juadah berbuka puasa di Masjid Sayyidina Abu Bakar, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka.

"Pada masa sama dapat meneguhkan sikap bekerjasama dan kerja berpasukan yang lebih mantap antara satu sama lain dalam menjayakan program ini secara konsisten," katanya.

Dr Masilla berkata, pihaknya berbesar hati dapat menyediakan juadah makanan secara percuma kepada pelajar.

Menurutnya, program ini membabitkan lebih 1,500 kakitangan UTeM mengikut giliran Pusat Tanggungjawab masing-masing dan turut dibantu sebahagian sukarelawan pelajar.

"Penyediaan juadah berbuka puasa ini dibiayai dana hasil sumbangan dan kutipan dalam kalangan kakitangan UTeM dan pelbagai lapisan masyarakat.

"Penganjuran program turut membabitkan peruntukan mengurus Pusat Islam UTeM, Tabung Kewangan Masjid Sayyidina Abu Bakar dan Tabung Amal Jariah UTeM yang berjumlah lebih daripada RM130,000 semuanya," katanya.

Mengulas lanjut mengenai proses penyediaan dan hidangan juadah, Dr Massila berkata, program itu dimulakan dengan aktiviti memproses dan menyediakan bahan mentah sebelum acara memasak yang diadakan secara gotong-royong.

"Uniknya amalan atau konsep kami di UTeM ini ialah makanan yang siap dimasak akan dihidangkan di dalam talam.

"Penganjuran majlis ini tentunya mampu memanfaatkan ruang dan peluang agar bersama menikmati keberkatan dan kasih Ramadan buat semua.

"Inilah medan yang menzahirkan hikmah memberi dan menerima antara kakitangan dan pelajar seterusnya menjalin ukhuwah berpanjangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 7:00 AM