Oleh Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda turun padang mengecat serta menghias Masjid Iktikaf Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Quwwah yang terletak di Pasir Tumboh, di sini, hari ini.

Seramai 25 kru yang terbabit berganding bahu mengecat dan mengindahkan rumah ibadat berkenaan selain turut bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar pusat tahfiz itu.

Pada masa sama, seramai 25 pelajar tahfiz berusia antara 11 hingga 15 tahun turut diraikan apabila kru Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda memasak bagi menyediakan juadah berbuka kepada kakitangan dan juga anak-anak tahfiz di pusat berkenaan.

Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda turut mengagihkan pakej set iftar iaitu sumbangan minuman isotonik, beberapa peralatan sukan, dan 10 unit kotak rezeki mengandungi makanan kering untuk kegunaan sepanjang bulan puasa ini selain sumbangan tilam, selimut, dan bantal.

Lebih meriah lagi program berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran penyampai radio, Shah Sulaiman, dan Siti Azuraina Sheikh Omar atau dikenali Mek Zura dan Khai Hassan.

Mudir Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Quwwah, Mohd Fikri Mohd Kasim, 47, berkata, surau berkenaan siap dibina pada Julai lalu, namun ada bahagian di dalam surau yang masih belum dicat sepenuhnya.

"Surau ini dibina oleh sahabat saya yang juga seorang tukang perabot menggunakan 11 jenis kayu termasuklah kayu tembesu, jembal, mahogany, manggis, kelat, cengal, dan juga medan sekaligus membuatkan ia nampak istimewa selain memiliki nilai estetika seni bina yang tersendiri.

"Bagaimanapun, sahabat saya ini tidak meminta bayaran sebaliknya menggunakan kepakaran yang dimiliki dan ikhlas membina rumah ibadah ini bagi kegunaan anak-anak tahfiz yang dianggap menjadi bekalan untuknya di akhirat kelak," katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Katanya, pada masa sama, dia juga mengucapkan terima kasih kepada Media Prima atas kunjungan ini dalam membantu menceriakan surau yang digunakan untuk anak-anak tahfiz belajar selain menunaikan solat.

"Alhamdulillah, kini ruang solat di dalam surau ini nampak lebih cantik serta menarik. Terim kasih dan hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalasnya," katanya.

Bagi pelajar tahfiz, Muhammad Syakir Shafie, 14, berkata, ini adalah tahun kedua dia berpuasa di tahfiz bersama rakan dan kali ini berasa teruja dengan kehadiran Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda.

"Lebih mengujakan lagi apabila makanan berbuka turut disediakan secara bergotong-royong oleh Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda dan menu yang disediakan adalah makanan kegemaran saya," katanya.

Sementara itu, penyampai Molek FM, Siti Azuraina berkata, dalam program yang diadakan di pusat tahfiz itu, dia ditugaskan untuk memasak juadah berbuka puasa kepada 70 orang termasuk anak-anak tahfiz dan juga saudara mara mereka.

"Saya dibantu oleh 15 orang Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda akan 'rewang' bersama-sama untuk menyediakan juadah berbuka puasa iaitu kerutuk daging, ayam berempah, dan nasi minyak.

"Saya berbesar hati kerana dapat memasak juadah

untuk penghuni tahfiz dan tidak ada masalah untuk menguruskannya kerana ia dilakukan secara bergotong-royong," katanya.

Katanya, progran ini turut memberi peluang untuk penyampai radio Molek FM bertemu mata dengan pelajar tahfiz dan dalam masa mempromosikan segmen keagamaan 'Renungan Molek' yang ada dalam siaran radio berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 5:01 PM
Anggota Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda Media Prima  turun padang memberi kelengkapan barangan kepada  penghuni tahfiz secara bergotong-royong di  Masjid Iktikaf Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Quwwah sambil dibantu pelajar tahfiz yang terletak di Pasir Tumboh, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Anggota Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda Media Prima turun padang memberi kelengkapan barangan kepada penghuni tahfiz secara bergotong-royong di Masjid Iktikaf Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Quwwah sambil dibantu pelajar tahfiz yang terletak di Pasir Tumboh, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR