YUSRI (tengah) bersama Syaiful Rizal (dua dari kanan) dan Mohamed Elham menyampaikan Kotak Rezeki kepada penerima. FOTO Hazreen Mohamad
YUSRI (tengah) bersama Syaiful Rizal (dua dari kanan) dan Mohamed Elham menyampaikan Kotak Rezeki kepada penerima. FOTO Hazreen Mohamad
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Segamat: Sempena Ramadan yang penuh keberkatan, Harian Metro bersama Yayasan Bank Rakyat meraikan golongan asnaf dan mangsa banjir yang terjejas baru-baru ini menerusi pemberian sumbangan kotak rezeki kepada golongan ini.

Bertempat di Masjid Jannatul Firdaus, Kampung Jawa di sini, sebanyak 100 Kotak Rezeki yang mengandungi barangan keperluan asas seperti gula, susu dan tepung diberikan kepada mereka pada Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama Yayasan Bank Rakyat.

Program ini dimulakan dengan aktiviti memasak juadah berbuka puasa secara bergotong-royong oleh ahli jawatankuasa masjid, penduduk sekitar dan sukarelawan TKHM seawal jam 8 pagi sebelum diagih kepada orang ramai.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat Syaiful Rizal Abdul Ghani.

Hadir sama, Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro Yusri Abdul Malek dan Pengarang Kanan Berita Harian Metro merangkap Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Abd Aziz.

Masjid Jannatul Firdaus, Kampung Jawa diwakili Pengerusinya, Mohamed Elham Mohamed Soheh.

HUSAIN (kiri) bersama sukarelawan menyediakan bahan masakan untuk juadah berbuka puasa. FOTO Hazreen Mohamad
HUSAIN (kiri) bersama sukarelawan menyediakan bahan masakan untuk juadah berbuka puasa. FOTO Hazreen Mohamad

Majlis gotong-royong menyediakan juadah berbuka turut dihadiri Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit.

Syaiful Rizal berkata, setiap tahun YBR mengambil inisiatif menyediakan bantuan sempena Ramadan bagi membantu mereka yang memerlukan dan memberi keceriaan untuk persiapan Aidilfitri.

Katanya, bantuan Kotak Rezeki membabitkan 100 penerima ini tanda menyemai kasih dan ihsan sempena bulan yang barakah.

"Pihak kami menitikberatkan golongan memerlukan bantuan terutama kepada keluarga mangsa banjir. YBR akan sentiasa berusaha memperbanyakkan bantuan lain bagi meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik.

"Saya berharap lebih banyak program sebegini (kerjasama bersama Harian Metro) dapat diadakan, sekali gus merapatkan lagi silaturrahim di antara organisasi luar dengan masyarakat setempat," katanya.

JUADAH berbuka puasa disajikan kepada penduduk di Masjid Jannatul Firdaus, Kampung Jawa. FOTO Hazreen Mohamad
JUADAH berbuka puasa disajikan kepada penduduk di Masjid Jannatul Firdaus, Kampung Jawa. FOTO Hazreen Mohamad

Sementara itu menurut Yusri, sumbangan Kotak Rezeki diberikan bagi membantu golongan memerlukan tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama.

"Kebanyakannya kepada golongan memerlukan, terutama yang terjejas akibat banjir besar melanda Segamat baru-baru ini.

"Jadi, kita bersama Yayasan Bank Rakyat menghulurkan bantuan dan sekurang-kurangnya dapat menyatakan rasa simpati kami," katanya.

Beliau memaklumkan, Program TKHM sudah menjangkau usia 17 tahun dan ia masih diteruskan sehingga kini dengan sokongan serta kerjasama daripada institusi kerajaan dan rakan korporat seperti Yayasan Bank Rakyat.

SUKARELAWAN bersama kariah masjid bergotong-royong menyiapkan juadah berbuka puasa. FOTO Hazreen Mohamad
SUKARELAWAN bersama kariah masjid bergotong-royong menyiapkan juadah berbuka puasa. FOTO Hazreen Mohamad

Katanya, antara sumbangan pernah diberikan Kotak Rezeki ini adalah bantuan keperluan asas Back To School, komputer riba, bantuan sistem hidroponik, kerja-kerja pembersihan dan pemberian bantuan wang tunai.

"Saya harap sokongan berterusan semua pihak baik kerajaan, swasta mahupun orang perseorangan dalam menjayakan program dianjur Harian Metro pada masa akan datang untuk membantu golongan memerlukan," katanya.

PENERIMA mengambil bantuan Kotak Rezeki yang diagihkan. FOTO Hazreen Mohamad
PENERIMA mengambil bantuan Kotak Rezeki yang diagihkan. FOTO Hazreen Mohamad

Mohamed Elham dalam pada itu mengucapkan penghargaannya kepada Harian Metro dan Yayasan Bank Rakyat di atas penganjuran Program TKHM ini.

Katanya, program seperti ini ada impak bermakna kepada penduduk sekitar.

"Kami jemaah zon Kampung Jawa berterima kasih atas bantuan pertolongan yang diberikan," katanya.

Penerima sumbangan, Siti Salmah Abdul Samad, 64, berkata, sumbangan bantuan sedikit sebanyak meringankan beban ditanggungnya pada bulan Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba.

"Dengan pemberian bantuan ini, kami masih dihargai, diingati dan disayangi," katanya yang juga merupakan seorang ibu tunggal.

ANTARA penerima bantuan Kotak Rezeki pada Program TKHM  Bersama Yayasan Bank Rakyat di Masjid Jannatul Firdaus, Kampung Jawa, Segamat. FOTO Hazreen Mohamad
ANTARA penerima bantuan Kotak Rezeki pada Program TKHM Bersama Yayasan Bank Rakyat di Masjid Jannatul Firdaus, Kampung Jawa, Segamat. FOTO Hazreen Mohamad

Seorang lagi penerima sumbangan, Ismail Mustafa, 43, memanjatkan kesyukuran kerana memberikan bantuan kepada individu yang mengalami kesusahan sepertinya.

"Bila adanya bantuan seperti ini, boleh membantu meringankan beban terutamanya bagi menghadapi Aidilfitri yang banyak memerlukan peralatan baharu dan barang keperluan rumah yang semuanya sudah habis rosak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 6:50 AM