Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi ruang serta kebebasan tanpa sekatan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan berhubung kes rasuah membabitkan penguat kuasa bawah kementerian itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia berikutan kerajaan yang bagus perlu ada usaha atasi elemen rasuah di semua peringkat.

"Kita (KDN) buka 25 jam sehari dan itulah komitmen serta keterbukaan bahawa usaha untuk atasi masalah rasuah ini harus berlaku dari atas hingga ke peringkat bawah.

"Jadi dengan cara menghormati dan mengiktiraf peranan agensi penguat kuasa seperti SPRM, itulah pendirian saya sepanjang terajui KDN," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penerapan Nilai Murni dan Iftar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, jika masyarakat mempunyai bukti dan alasan untuk mengaitkannya, proses tepat adalah membuat laporan kepada SPRM.

Katanya, komitmen beliau adalah 25 jam sehari agar SPRM melakukan tugasan tanpa sebarang kacau ganggu mahu pun sekatan di peringkatnya (KDN).

"Itu menunjukkan ketelusan dan keterbukaan kami di peringkat KDN," katanya.

Semalam, media melaporkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dilapor berkata, kebanjiran pendatang asing tanpa izin (Pati), pekerja dan pelajar asing di negara ini dilihat sebagai peluang besar kepada segelintir penguat kuasa yang tidak berintegriti untuk mengaut rasuah di negara ini.

Tidak kira sama ada mereka ini mempunyai permit kerja, visa pelajar apatah lagi 'kosong' tanpa permit dan berstatus PATI, kumpulan ini sering menjadi sasaran penguat kuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 10:51 PM
SAIFUDDIN (dua dari kanan) diiringi Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani (kanan) menyerahkankan sumbangan Bakul Rahmah kepada penerima. FOTO Faiz Anuar.
SAIFUDDIN (dua dari kanan) diiringi Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani (kanan) menyerahkankan sumbangan Bakul Rahmah kepada penerima. FOTO Faiz Anuar.