SAIFUDDIN Nasution Ismail bersama wakil kedutaan Amerika Syarikat Dave William dan LaJune Barnes semasa Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini. FOTO Bernama
SAIFUDDIN Nasution Ismail bersama wakil kedutaan Amerika Syarikat Dave William dan LaJune Barnes semasa Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini. FOTO Bernama
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti persediaan asas perancangan untuk menempatkan semula kanak-kanak yang berada di depoh tahanan sementara Imigresen di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ketika ini, pihaknya masih dalam peringkat mengenal pasti jumlah kanak-kanak yang berada dalam tahanan di seluruh negara.

"Saya telah mengadakan perbincangan bersama Ketua Setiausaha KDN dan pegawai atasan yang sudah diarahkan to keep the ball rolling (meneruskan usaha), jadi biar mereka lakukan tugas itu dahulu," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini.

Pada 15 Februari lalu, Saifuddin berkata KDN dalam usaha membawa keluar kanak-kanak yang berada di depoh tahanan sementara Imigresen di seluruh negara.

Beliau berkata, pihaknya turut mengetahui jumlah sebenar kanak-kanak berkenaan dan keberadaan mereka serta akan diserahkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengkhusus dalam penjagaan kanak-kanak.

Ketika di Dewan Rakyat pada 2 Mac lalu, Saifuddin memaklumkan seramai 1,179 anak pendatang tanpa izin (PATI) ditahan di depoh imigresen di seluruh negara sehingga 29 Januari lalu.

Beliau berkata, kanak-kanak terbabit antara 15,845 PATI yang ditahan di depoh imigresen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 4:08 PM