Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung permohonan Notis Merah polis antarabangsa (Interpol) terhadap menantu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seorang lagi individu.

Ia berikutan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun berkata, pihaknya tidak akan campur tangan dalam siasatan yang dijalankan oleh SPRM.

"Apabila sesuatu subjek itu menjadi subjek yang diletakkan sesuatu status sama ada dikehendaki dan sebagainya. Apa lagi kalau subjek itu berada di luar negara biasanya pihak KDN akan diminta untuk memberikan kerjasama daripada agensi penguat kuasa dan kes ini SPRM.

"Saya fikir itu proses biasa, kalau yang kes berprofil tinggi misalnya ada juga yang membawa kepada perintah sekatan dan sebagainya..jadi itu proses biasa," katanya.

SAIFUDDIN Nasution membacakan warkah perasmian pada majlis penyerahan watikah pelantikan JPKKP Kedah 2024. FOTO Bernama
SAIFUDDIN Nasution membacakan warkah perasmian pada majlis penyerahan watikah pelantikan JPKKP Kedah 2024. FOTO Bernama

Beliau berkata demikian dalam Seminar Pembangunan Modal Insan dan Sahsiah Diri di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Hussein dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau turut mengulas ketika ditanya sama ada kedua-dua suspek akan diletakkan di bawah senarai individu dikehendaki.

"Setakat yang telah diberikan kenyataan laporan oleh Tan Sri Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya SPRM), dia kekal begitu dulu. Saya tidak mahu masuk encroach dalam territory itu (tidak mahu campur tangan)," katanya.

Terdahulu media melaporkan SPRM akan memohon Notis Merah polis antarabangsa (Interpol) terhadap menantu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seorang lagi individu yang dipercayai melarikan diri dalam kes penyelewengan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 8:53 PM