LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Rosli Ilham


Dungun: "Biasanya saya akan teman dia mandi, entah macam mana malam tadi saya keberatan berbuat demikian," kata Mohammad Arsyad Ismail selepas ayahnya, Ismail Awang, 71, dikhuatiri terjatuh ke dalam laut dalam kejadian di kawasan 17.5 batu nautika dari Kuala Dungun, dekat Pulau Tenggol, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 malam, mangsa yang tinggal di Jalan Lapangan Terbang, Sura Hujung, disedari hilang oleh anaknya, Mohammad Arsyad, 35, yang juga tekong bot terbabit.

Mohammad Arsyad, 35, berkata, sebelum kejadian, dia bersama ayah serta abangnya, Muhammad Safuan Ismail, 37, serta lima awak lain, Zainuddin Ibrahim, 48, Sahe Linsar, 50, Anuar Abdul Abdul Rahman, 70, Rafzan Anuar, 39, dan Wahab Othman, 66, dalam perjalanan pulang ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Menurutnya, mereka keluar ke laut pada jumaat kira-kira jam 10 malam untuk menahan bubu dan memancing di kawasan sekitar pelantar minyak Sotong A.

"Selama empat hari di laut dan kami mengambil keputusan untuk pulang selepas memperoleh hasil tangkapan yang membanggakan.

"Dalam perjalanan pulang, memandangkan saya kemudikan bot manakala ayah serta lima awak lain berada dalam kotak bot, sementara Wahab berada di belakang bot," katanya.

Katanya, mereka sempat berlabuh seketika untuk memancing ikan selayang beberapa jam sebelum menyambung perjalanan pulang ke Kuala Dungun, kira jam 10.40 malam.

"Dalam perjalanan itu dan mendapati tubuh ayah yang kotor, saya arahkan ayah mandi dan ayah yang mengenakan tuala dan selipar berjalan ke bahagian belakang bot untuk mandi.

"Kira-kira 10 minit, saya berasa pelik kerana ayah masih belum masuk ke bahagian kotak bot sebelum saya ke bahagian belakang bot untuk melihat ayah, "katanya.

Mohammad Arsyad berkata, dia sangat terkejut selepas mendapati ayahnya itu hilang dan sempat mengejut Wahab yang ketika itu..

"Menyedari ayah terjatuh, saya pantas memusingkan stereng bot sebelum melakukan pencarian selama empat jam dalam jarak pencarian kira-kira tiga batu nautika.

"Saya dan awak-awak yang lain cuba menghubungi talian kecemasan namun gagal berikutan lokasi kawasan itu tiada liputan, "katanya.

Katanya, dia akhirnya berjaya menghubungi ibunya di rumah dan mengarahkan ibunya segera membuat laporan kepada pihak berkuasa.

"Kami tiba di jeti LKIM Dungun kira-kira jam 6.30 pagi tadi dan biarpun kami sangat letih dan mengantuk, saya akan turun semula ke laut untuk mencari ayah.

"Ayah sangat minat memancing dan sering ikut saya ke laut sejak bersara sebagai kerani di Pos Malaysia. Saya berharap ayah segera ditemui dan saya reda sekiranya ayah ditemui dalam apa keadaan sekali pun, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 2:33 PM