Rosli Ilham

Dungun: Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot yang dinaikinya bersama tujuh awak termasuk seorang tekong pada kedudukan kira-kira 17.5 batu nautika dari Kuala Dungun, dekat Pulau Tenggol, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 malam, Ismail Awang, 71, yang tinggal di Jalan Lapangan Terbang, Sura Hujung, disedari hilang oleh anaknya, Mohammad Arsyad Ismail, 35, yang juga tekong bot terbabit.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, selain mangsa dan tekong bot, lima lagi awak yang berada bot terbabit ialah, Muhammad Safuan Ismail,37, Zainuddin Ibrahim, 48, Sahe Linsar, 50, Anuar Abdul Abdul Rahman, 70, Rafzan Anuar, 39, dan Wahab Othman, 66.

Menurutnya, sebelum kejadian, kesemua nelayan itu keluar menangkap ikan pada malam Sabtu dan dijangka pulang ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) malam tadi.

"Ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang mandi di bahagian belakang bot sebelum disedari hilang oleh anaknya.

"Juragan bot, yang menyedari kehilangan mangsa kemudiannya berpatah balik sebelum melakukan usaha mencari dan menyelamat," katanya.

ZAINUDIN (tengah) menceritakan kejadian rakannya, Ismail Awang yang dikhuatiri lemas. FOTO Rosli Ilham.
ZAINUDIN (tengah) menceritakan kejadian rakannya, Ismail Awang yang dikhuatiri lemas. FOTO Rosli Ilham.

Baharuddin berkata, salah seorang daripada awak terbabit kemudiannya menghubungi isteri mangsa pada jam 2 pagi untuk melaporkan berhubung kejadian itu.

"Ahli keluarga mangsa kemudiannya datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun membuat laporan kira-kira jam 3.30 pagi tadi.

"Susulan daripada laporan itu, bot-bot nelayan yang berada di sekitar lokasi kejadian turut menjalankan usaha menjejak mangsa," katanya.

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia APMM, Zon Maritim Kemaman, Rashidilhadi Abd Rashid berkata, pihaknya yang menerima laporan kemudiannya telah menggerakkan sebuah bot bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa, kira-kira jam 7 pagi tadi.

Menurutnya, pihaknya juga turut mendapatkan bantuan sebuah helikopter bagi membantu operasi pencarian mangsa melalui udara.

"Sebuah helikopter dari Unit Udara Maritim Malaysia yang berpangkalan di Subang kini dalam perjalanan untuk ke lokasi kejadian.

"Sehingga jam 11.20 pagi ini operasi mencari dan menyelamat mangsa masih belum berhasil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 11:51 AM