KEBAKARAN membabitkan dua rumah di Kampung Padang Rokma, Wakaf Bharu. FOTO Ihsan Bomba
KEBAKARAN membabitkan dua rumah di Kampung Padang Rokma, Wakaf Bharu. FOTO Ihsan Bomba
Siti Rohana Idris


Tumpat: "Ketika berehat di luar rumah saya terdengar letupan kecil sebelum jeritan ibu kedengaran memberitahu rumah terbakar," kata mangsa kebakaran rumah di Kampung Padang Rokma, Wakaf Bharu, Mohamad Rafizan Zakaria.

Mohamad Rafizan, 40, berkata, kejadian berlaku kira-kira 12.45 tengah hari tadi membabitkan dua rumah iaitu milik ibunya serta sepupu yang terletak bersebelahan.

Dia berkata, sebaik mendengar jeritan ibunya yang turut meminta tolong, dia bergegas masuk dan melihat api yang bermula di bilik tidur sedang marak.

"Saya cuba mengambil air dan menyimbah api namun kebakaran semakin marak dan tanpa melengahkan masa saya terus keluar menyelamatkan diri sebelum turut membawa bersama tong gas kerana bimbang ia meletup.

"Tiada apa yang dapat dicapai selain telefon bimbit milik ibu sahaja dan saya segera menghubungi bomba," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohamad Rafizan yang bekerja sebagai tukang rumah berkata, dia menetap bersama mentua di Kota Bharu dan namun kerap datang ke rumah ibunya itu ketika hari bekerja.

Dia berkata, ibunya, Rahimah Awang, 65, yang tinggal bersama adik lelakinya juga tidak sihat dan mengalami sakit dada dipercayai terkejut dengan kejadian itu sebelum dibawa ke hospital dan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.

"Ibu juga sangat sedih kerana wang simpanannya yang berjumlah RM1,000 di celah pakaian hasil pemberian anak, turut hangus.

"Rumah bapa saudara bersebelahan juga hangus menyebabkan mereka empat beranak turut tinggal sehelai sepinggang," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Bharu, Lizan Abu Bakar berkata, seramai 10 pegawai dan anggota dari BBP Wakaf Bharu serta Tumpat hadir di lokasi.

"Operasi pemadaman dimulakan pada 1 tengah hari dan dapat dikawal 10 minit kemudian manakala punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 7:53 PM