Lelaki warga emas diusung oleh anggota bomba dan kakitangan kesihatan menggunakan cadar untuk turun dari tingkat satu di kediamannya di Taman Sri Rokma, Wakaf Bharu, di sini disebabkan obesiti. FOTO IHSAN BOMBA
Lelaki warga emas diusung oleh anggota bomba dan kakitangan kesihatan menggunakan cadar untuk turun dari tingkat satu di kediamannya di Taman Sri Rokma, Wakaf Bharu, di sini disebabkan obesiti. FOTO IHSAN BOMBA
Siti Rohana Idris


Tumpat: Lelaki warga emas yang mengalami masalah obesiti terpaksa diusung enam anggota bomba dan kakitangan kesihatan untuk turun dari tingkat satu di kediamannya di Taman Sri Rokma, Wakaf Bharu, di sini.

Warga emas berusia 79 tahun dengan berat melebihi 150 kilogram (kg) itu yang menghidap kencing manis, diusung menggunakan cadar berikutan kesukaran untuk membawa pengusung bagi operasi itu.

Komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Bharu, Lizan Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12 tengah hari tadi dari pihak kesihatan untuk memberi bantuan khas.

"Difahamkan lelaki warga emas itu terlantar akibat kencing manis dan obesiti yang menyebabkan kakitangan kesihatan sukar membawa mangsa turun dari tingkat atas rumahnya.

"Kami menggunakan cadar untuk mengusungnya menuruni tangga sebelum diletakkan di atas pengusung.

"Seterusnya mangsa disorong masuk ke ambulans untuk rawatannya di Klinik Kesihatan Wakaf Bharu dan operasi keseluruhannya mengambil masa selama 20 minit," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2023 @ 5:19 PM