Siti Rohana Idris

Tumpat: Malang buat seorang peniaga pasar malam apabila rumahnya terbakar dan turut memusnahkan perkakas perniagaan termasuk tiga peti ais dan dua pembakar kek.

Dollah Mohamad Nor, 71, berkata, ketika kejadian pada 8.45 malam semalam itu, dia sedang berniaga bersama isteri, Zawiyah Omar, 66, dan anak bongsu, serta bergegas pulang sebaik dimaklumkan rumah di Kampung Kok Pasir di sini, terbakar.

Katanya, luluh hati apabila melihat anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran kediaman itu bersama sebuah lagi rumah pusaka milik mentua yang kosong dan terletak berhampiran.

"Rumah saya musnah di bahagian dapur dan tiga bilik di tingkat atas, manakala rumah mentua hangus. Bagaimanapun, saya bersyukur semua ahli keluarga termasuk tiga cucu selamat," katanya ketika ditemui, hari ini.

Jirannya, Rahim Mat Ali, 62, berkata, dia segera memberitahu jiran yang lain sebaik melihat api marak membakar kediaman Dollah dan sebuah lagi rumah.

Katanya, kediaman mereka yang berhampiran menyebabkan dia bimbang dan segera menyelamatkan barangan penting dan ahli keluarga termasuk ibunya yang sudah uzur.

"Saya bimbang kebakaran merebak dan segera dukung emak yang uzur untuk keluar menyelamatkan diri. Jarak rumah yang rapat menyebabkan api cepat merebak," katanya.

DOLLAH mencari saki baki barang yang musnah dalam kebakaran di Kampung Kok Pasir. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
DOLLAH mencari saki baki barang yang musnah dalam kebakaran di Kampung Kok Pasir. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Terdahulu, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob hadir melawat mangsa kebakaran dan menyerahkan sumbangan.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat, Penolong Penguasa Bomba Wan Baijuri Wan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.11 malam dan 20 pegawai hadir ke lokasi.

Katanya, selain BBP Tumpat, anggota terbabit dari BBP Wakaf Bharu dan Kota Bharu dengan operasi tamat sepenuhnya pada 1 pagi.

"Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 2:42 PM