KOLAM renang. FOTO HIASAN
KOLAM renang. FOTO HIASAN
BERNAMA

Kuantan: Kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut dipercayai lemas di kolam renang sebuah hotel di Mentakab, Temerloh, semalam.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata kejadian dipercayai berlaku pada 4.45 petang selepas mangsa yang juga anak tunggal, dibawa teman lelaki ibunya yang berusia 41 tahun untuk beriadah.

"Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai hilang semasa teman lelaki ibunya leka menggunakan telefon bimbit di tepi kolam renang tersebut.

"Lelaki itu telah meminta bantuan pengawal keselamatan untuk mencari mangsa yang kemudiannya ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dasar kolam renang yang berkedalaman dua meter," katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Azhar berkata, mangsa diberikan bantuan pernafasan kecemasan dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Mentakab sebelum disahkan meninggal dunia.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di Temerloh untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana kecuaian sehingga menyebabkan kematian mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 11:53 AM