KEADAAN kereta mangsa. FOTO Ihsan Polis
KEADAAN kereta mangsa. FOTO Ihsan Polis
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


BERPANTANG maut sebelum ajal. Itu berlaku kepada seorang lelaki yang terselamat meskipun keretanya terputus dua selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 1, Jalan Karak-Mentakab, di Temerloh, malam tadi.

Kejadian 8.10 malam itu menyebabkan mangsa, Mohd Zakril Ishak, 34, patah tulang bahu dan luka di dagu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, siasatan mendapati kejadian ketika mangsa dalam perjalanan dari Karak menuju ke Mentakab.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandunya dipercayai hilang kawalan ketika melalui kawasan berselekoh.

“Keadaan itu menyebabkan kereta berkenaan terbabas dan melanggar tiang lampu di pembahagi jalan sebelum terbalik,” katanya, hari ini.

Katanya, kejadian itu juga menyebabkan kereta berkenaan putus dua dan mangsa mengalami patah tulang bahu.

“Orang ramai yang berada di tempat kejadian membantunya sebelum mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) untuk menerima rawatan.

“Difahamkan, mangsa berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Mohd Yusri berkata, siasatan lanjut masih dilakukan mengikut Rule 10 LN/166/59.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Disember 2019 @ 2:23 PM