PEGAWAI DBKL memeriksa dapur sebuah restoran dalam operasi di Kuala Lumpur, semalam.
PEGAWAI DBKL memeriksa dapur sebuah restoran dalam operasi di Kuala Lumpur, semalam.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Dua premis makanan diarah ditutup, manakala 49 kompaun dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam operasi penguatkuasaan sekitar Pusat Perniagaan Cheras di sini semalam.

Operasi itu dijalankan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL dengan kerjasama Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan dan Pejabat Cawangan Cheras.

Dalam kenyataan hari ini, DBKL memaklumkan sejumlah 32 premis yang diperiksa dan pemeriksaan mendapati terdapat premis yang tidak menyelenggara mahupun memasang perangkap minyak dan bahan mentah diletakkan di atas lantai.

Menurut DBKL, terdapat hurungan najis tikus dan lipas di bahagian dapur selain pekerja yang tidak mendapat kursus pengendalian makanan.

"Pemeriksaan juga mendapati pengendali makanan tidak mendapat suntikan tifoid, menjalankan aktiviti membasuh pinggan mangkuk di lorong belakang premis dan meletakkan halangan di kawasan yang tidak dibenarkan," menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook.

DBKL memaklumkan semua tindakan penguatkuasaan diambil mengikut Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Undang-undang Kecil Pelesenan Penempatan Makanan (WPKL) 2016.

"Operasi ini akan diteruskan di kawasan-kawasan tumpuan yang lain dari masa ke masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2023 @ 5:38 PM