Keadaan premis memproses ayam yang kotor. FOTO Ihsan DBKL
Keadaan premis memproses ayam yang kotor. FOTO Ihsan DBKL
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Lantai dan dinding kotor dan berdaki hitam.

Itu keadaan di sebuah premis memproses ayam tanpa lesen di Jalan Sungai Besi di sini, yang diserbu sebelum disita Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) jam 2 pagi tadi.

Malah premis itu juga didapati menumpahkan darah ayam, air buangan dan cecair kotor ke tempat awam termasuk longkang.

Tindakan sitaan pula dijalankan 22 anggota Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar dan Jabatan Penguatkuasaan DBKL.

DBKL pada kenyataan memaklumkan, pemeriksaan dijalankan hasil aduan diterima pihaknya menerusi Pusat Panggilan Setempat DBKL.

"Hasil pemeriksaan mendapati, premis itu menjalankan perniagaan memproses ayam hidup tanpa lesen daripada DBKL.

"Malah, premis itu juga didapati menggaji tiga pekerja warga asing membabitkan dua dari Bangladesh dan seorang dari India," katanya.

Menurut kenyataan, DBKL mengambil beberapa tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan enam kompaun dan satu notis penutupan dalam operasi itu.

"DBKL mengeluarkan notis kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 3(1) UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 dan UUK 20(1)(b) akta sama kerana menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen daripada DBKL serta menggaji pekerja warga asing.

"DBKL juga mengeluarkan notis kompaun di bawah UUK 23(1)(b) UUK Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016, UUK 15(2) dan UUK 25(1)(b) akta sama kerana kesalahan pengendali makanan gagal mendapatkan suntikan tifoid, air buangan disalurkan terus ke longkang awam serta lantai dan dinding premis kotor dan berdaki hitam.

"Premis itu juga diambil tindakan sita serta ditutup serta-merta di bawah Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2020 @ 3:53 PM