LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Kali, Harumaini Omar akan mempertimbangkan tindakan undang-undang sekiranya Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor, Ng Suee Lim tidak menarik balik pengisytiharan kekosongan kerusi Dun berkenaan yang dibuat semalam.

Harumaini berkata, beliau sudah mengemukakan permohonan kepada Suee Lim hari ini agar menarik balik pengisytiharan pengosongan kerusi Dun berkenaan serta merta dalam tempoh tiga hari dari tarikh ini.

"Sekiranya tiada jawapan dan maklum balas positif diterima daripada Yang Berhormat Speaker, maka saya akan mempertimbangkan keputusan perundangan yang sewajarnya.

"Saya menegaskan bahawa Speaker hendaklah senantiasa memelihara keluhuran undang-undang tanpa dipengaruhi agenda politik kepartian di dalam membuat keputusan.

"Saya dengan ini merizabkan segala hak saya bagi mencabar sebarang tindakan dan keputusan Speaker yang dibuat atas kekhilafan tafsiran peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pengisytiharan kekosongan kerusi Dun Batang Kali berkuatkuasa 28 Januari oleh Suee Lim semalam.

Menurutnya, sehingga kini, beliau belum menerima apa-apa pemakluman rasmi melalui apa-apa notis bertulis daripada pihak Speaker Dun Selangor berhubung pengisytiharan itu.

"Speaker terkhilaf dari segi fakta dan atau undang-undang apabila membuat pengiraan tempoh enam bulan di bawah Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 bermula dari tarikh 27 Julai 2022, tarikh sidang dewan yang dihadiri saya di dalam Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Ke-14.

"Tiada apa-apa persidangan dewan berlangsung pada September 2022 dan Oktober 2022.

"Berdasarkan lunas undang-undang, ketidakhadiran saya tanpa kebenaran hanya berlaku pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Ke-14 iaitu persidangan yang bermula pada 23 November 2022.

"Oleh itu, apa-apa pengiraan tempoh enam bulan bagi maksud Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 hanya bermula dari 23 November 2022 dan bukannya pada 27 Julai 2022," katanya.

Pada masa sama katanya, sebagai wakil rakyat Batang Kali, beliau sudah memberikan khidmat bakti kepada masyarakat setempat melalui Pusat Khidmat Dun berkenaan sejak dipilih dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

"Oleh itu, adalah tidak wajar untuk saya dihalang daripada menghadiri Mesyuarat Pertama, Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Keempat Belas yang dijadualkan bermula pada 13 Mac depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2023 @ 6:41 PM