GAMBAR hiasan. DUN Selangor. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. DUN Selangor. FOTO Bernama
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Dewan Negeri Selangor hari ini mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Batang Kali berikutan kegagalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan, Harumaini Omar hadir tanpa kebenaran ketika tempoh persidangan dewan melebihi enam bulan sejak 28 Julai tahun lalu.

Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim berkata, pengisytiharan itu dilaksanakan sebagaimana peruntukan mengikut Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Beliau akan menghantar makluman pengisytiharan kekosongan kerusi itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat.

"Tahun lalu, DUN Selangor bersidang dari 14 hingga 18 Mac, 21 Mac, 25 hingga 29 Julai, 1 hingga 2 Ogos, 23 hingga 30 November, 1 hingga 2 Disember dan 5 hingga 6 Disember dalam Penggal Kelima DUN Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022.

"Penyata Rasmi dan Buku Kedatangan Ahli DUN Selangor menunjukkan ADUN Batang Kali, Harumaini Omar, didapati tidak hadir tanpa kebenaran Speaker DUN Selangor pada keseluruhan persidangan dewan dari 23 hingga 30 November 2022, 1 hingga 2 Disember 2022 dan 5 hingga 6 Disember 2022.

"Tiada rekod dalam Pejabat Dun Selangor dan Pejabat Speaker yang menunjukkan Yang Berhormat memohon kebenaran daripada Speaker untuk tidak hadir pada persidangan berkenaan," katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Suee Lim berkata, berdasarkan rekod Penyata Rasmi dan Buku Kehadiran, tarikh akhir kehadiran Harumaini persidangan dewan adalah pada 27 Julai 2022.

"Memandangkan tempoh enam bulan dikira bermula dari tarikh 28 Julai, maka seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara LXIX Undang -Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, tempoh ketidakhadiran Yang Berhormat Batang Kali melebihi enam bulan.

"Maka, pada menjalankan kuasa saya sebagai Speaker Dewan Negeri Selangor di bawah Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, saya dengan ini mengisytiharkan kerusi Yang Berhormat Harumaini Omar adalah kosong berkuatkuasa dari 28 Januari dan diisytiharkan di Shah Alam hari ini," katanya.

Ketika ditanya pemberita sama ada Harumaini ada menghubungii beliau untuk memaklumkan alasan ketidakhadiran pada persidangan dewan, Suee Lim berkata, sehingga kini tiada sebarang khabar berita.

"Tiada... dalam tarikh yang saya sebutkan tadi, tiada surat, tiada hubungi. Sepatutnya beliau (Harumaini) kena tulis surat kalau tidak hadir, ada masalah dan sebagainya kepada Setiausaha Dun Selangor.

"Ahli Dewan sendiri kena bertanggungjawab memaklumkan kepada Setiausaha DUN Selangor, bukan Speaker untuk bertanya kepada setiap ADUN hendak datang sidang atau tidak," katanya.

Pada masa sama katanya, beliau turut menjelaskan mengapa pengisytiharan kekosongan kerusi dibuat hari ini walaupun kerusi itu kosong berkuatkuasa 28 Januari lalu.

"Saya ambil sendiri masa (pengisytiharan) kerana saya mengamalkan dengan tertib dan teratur. Kita minta pandangan penasihat undang-undang negeri, baru isytihar.

"Beliau (Harumaini) ketahui (kekosongan kerusi) melalui sidang media ini kerana kita isytihar dulu, notis kekosongan dihantar kepada SPR dalam masa terdekat.

"Dengan pengisytiharan ini, hilang kelayakan sebagai ADUN, beliau juga dilarang hadir ke sidang DUN Selangor yang bermula pada Mac, tidak boleh membuat rayuan," katanya.

Dalam pada itu katanya, segala elaun dan gaji Harumaini sebagai ADUN Batang Kali hanya akan diberi sampai Januari .

"Bermula Februari seterusnya, segala pembayaran gaji dan kebajikan beliau sebagai adun akan dihentikan. Namun, pencen ADUN beliau tidak terjejas, masih ada," katanya.

Beliau berkata, pengisytiharan hari ini kali kedua dilakukan oleh DUN Selangor selepas perkara sama dibuat ke atas ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah pada 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2023 @ 3:38 PM