Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Sokongan psikologi perlu ditingkatkan bagi membantu mangsa buli siber mengatasi trauma dan membina semula keyakinan diri.

Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Psikiatri, Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan, Profesor Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, tindakan buli termasuk buli siber tidak boleh dianggap remeh kerana ia mengakibatkan berlaku gangguan pemikiran, emosi dan tingkah laku kepada individu yang mempunyai tahap ketahanan mental rendah.

Menurutnya, ia boleh mengundang kepada tindakan luar kawalan seperti membunuh diri.

"Beberapa impak kepada individu yang terjejas boleh berlaku antaranya kesan psikologi di mana buli siber boleh menyebabkan masalah seperti kebimbangan, kemurungan dan rendah diri.

"Individu yang menjadi mangsa sering mengalami tekanan emosi berpanjangan. Keadaan ini akan menyumbang peningkatan kecenderungan bunuh diri.

"Dalam kes ekstrem, buli siber boleh meningkatkan risiko kecenderungan bunuh diri, terutama dalam kalangan remaja yang mungkin merasa terasing atau tidak dapat berdaya tindak dengan baik. Oleh itu sokongan psikologi perlu ditingkatkan bagi membantu mereka," katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas mengenai elemen buli siber dalam media sosial perlu ditangani segera terutama membabitkan individu yang mempunyai tahap ketahanan mental rendah.

Mengulas lanjut, Shazli Ezzat berkata, perlunya kesedaran dan pendidikan berkaitan kesan buli siber terhadap mangsa.

"Memahami apa yang dianggap sebagai buli siber dapat membantu individu dan komuniti untuk mengambil tindakan pencegahan.

"Kerjasama pihak berkuasa juga perlu disatukan secara kolektif bagi memberikan sokongan mencipta persekitaran yang lebih selamat di media sosial dan menggalakkan budaya empati.

"Pada masa sama, semua peringkat komuniti perlu diberikan penekanan untuk menangani isu ini dengan segera untuk melindungi kesejahteraan mental individu dan mencegah kesan jangka panjang," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan pempengaruh media sosial, A Rajeswary, 30, atau lebih dikenali sebagai Esha, ditemukan meninggal dunia di kediaman di sebuah kondominium di Setapak Jumaat lalu, dipercayai mengalami tekanan akibat dibuli di media sosial.

Pada 4 Julai lalu, mendiang didakwa membuat satu laporan polis mengenai kejadian buli siber yang dihadapinya di Balai Polis Dang Wangi sebelum laporan tu dipindahkan ke Polis Daerah Sentul untuk siasatan.

Polis meminta mendiang menghadirkan diri ke balai polis untuk dirakam keterangan, namun dia ditemukan meninggal dunia keesokannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 7:02 AM