SOUTHGATE tidak percaya pada kisah dongeng namun mempunyai impian tersendiri. FOTO Reuters
SOUTHGATE tidak percaya pada kisah dongeng namun mempunyai impian tersendiri. FOTO Reuters
AFP

Berlin: Pengurus England, Gareth Southgate, menegaskan bahawa beliau tidak percaya takdir akan membawa Three Lions meraih kejayaan di Euro 2024, tetapi beliau sedang bermimpi untuk mengakhiri penantian 58 tahun bagi memenangi kejohanan utama dalam perlawanan akhir pagi Isnin ini menentang Sepanyol.

Tiga tahun selepas kekalahan dalam final Euro 2020 di laman sendiri kepada Itali, pasukan Southgate sekali lagi berpeluang untuk menjadi juara Eropah buat pertama kalinya di Berlin.

England menghadapi pelbagai cabaran di sepanjang perjalanan menuju final, dengan beberapa gol lewat permainan, kebangkitan semula, dan juga penentuan melalui sepakan penalti menentang Switzerland di suku akhir.

"Saya tidak percaya pada cerita dongeng, tetapi saya percaya pada impian," kata Southgate dalam sidang media praperlawanan.

"Kami mempunyai impian besar, kami merasakan keperluan dan kepentingan itu, tetapi kemudian anda perlu merealisasikan perkara berkenaan.

"Takdir, perjalanan yang kami lalui, gol-gol lewat, sepakan penalti, itu tidak bermakna ini adalah detik kami. Kami perlu menjadikannya nyata esok (Isnin) dan menunjukkan prestasi yang diperlukan."

Southgate mengubah England dari pasukan yang sering gagal menjadi pencabar tetap di kejohanan utama.

Dalam empat Piala Dunia atau Euro di bawah pimpinannya, England telah mencapai satu suku akhir, satu separuh akhir dan kini dua final, termasuk yang pertama di luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 7:20 AM