Ng Suee Lim. FOTO Arkib NSTP
Ng Suee Lim. FOTO Arkib NSTP
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dijangka membentangkan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti pada sidang belanjawan negeri ini November depan.

Speaker DUN, Ng Suee Lim berkata pembentangan itu akan menjadikan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam sebagai rujukan agar tidak berlaku sebarang percanggahan.

Katanya, perkara itu akan dibincangkan bersama Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam masa terdekat.

"Kita akan mengikut jejak Persekutuan secepat mungkin dan kalau tiada halangan pada belanjawan akan datang kita akan gubal dan bentang RUU ini. Ini supaya kita seiring dengan perlembagaan negara dan tidak timbul konflik antara satu sama lain.

"Kita juga kena akur bahawa perlembagaan berpusat di Persekutuan dan jika Persekutuan pinda, kita pasti akan ikut kerana sebagai peneraju reformasi pembaharuan dewan negeri, kita tidak akan ketinggalan," katanya ketika ditemui di Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Mengulas lanjut, Ng berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan sidang DUN khas sekiranya terdapat permintaan khusus supaya RUU anti lompat itu segera dibentang.

"Kalau ada keperluan mendesak kita akan adakan sidang khas. Itu terpulang kepada Menteri Besar sebagai ketua dewan untuk mengadakannya, kita tidak ada masalah dan bila-bila masa boleh buat.

"Tapi perkiraan kita di peringkat negeri ini, perlu persediaan dari segi teknikal, peruntukan undang-undangnya supaya perancangan lebih teratur. Jadi saya rasa sebaiknya akhir tahun ini untuk Selangor," katanya.

DUN Selangor pada 16 Julai 2020 meluluskan usul mendesak Kerajaan Persekutuan menggubal rang undang-undang anti lompat parti bertujuan menghalang mana-mana Ahli Parlimen dan ADUN melompat parti dan ia mendapat sokongan sebulat suara ahli dewan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2022 @ 11:39 PM