AFP

Butler, Amerika Syarikat: Bekas presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dibawa keluar dari pentas oleh ejen perkhidmatan rahsia pada Sabtu, selepas beberapa siri dentuman dipercayai tembakan kedengaran semasa berkempen di Pennsylvania.

Sebaik bunyi dentuman, Trump kelihatan mengerutkan dahi dan tangannya memegang telinga kanan, sebelum darah kelihatan.

Ejen kemudian mengerumuni pentas, dan mengelilingi calon Republikan itu serta mengiringinya meninggal pentas, manakala Trumph dilihat menunjukkan penumbuk ke arah orang ramai sebagai tanda menentang.

Insiden mengejutkan itu mencetuskan kegelisahan di negara sudah bimbang mengenai kemungkinan ketidakstabilan politik menjelang pilihan raya antara Trump dan Presiden Joe Biden, pada November.

"Bekas presiden selamat," kata ejen perkhidmatan rahsia di laman X.

Pasukan kempennya berkata, Trump dalam keadaan baik dan sedang diperiksa di sebuah fasiliti perubatan.

"Presiden Trump mengucapkan terima kasih kepada penguat kuasa undang-undang dan pasukan tindakan pertama yang mengambil tindakan pantas ketika tindakan keji itu.

"Beliau dalam keadaan baik dan sedang diperiksa di pusat perubatan tempatan. Maklumat lanjut akan dimaklumkan kemudian," kata jurucakap Steven Cheung dalam kenyataan.

DONALD Trump dibantu dibawa turun dari pentas selepas dentuman kedengaran ketika perhimpunan kempen di Butler, Pennsylvania. FOTO Reuters
DONALD Trump dibantu dibawa turun dari pentas selepas dentuman kedengaran ketika perhimpunan kempen di Butler, Pennsylvania. FOTO Reuters

Insiden itu berlaku sejurus selepas Trump naik ke pentas pada perhimpunan kempen terakhirnya sebelum Konvensyen Kebangsaan Republikan di Milwaukee minggu depan

Perhimpunan di Butler, Pennsylvania bertukar menjadi huru-hara apabila bunyi dentuman dan jeritan kedengaran.

"Biar saya ambil kasut saya," Trump kedengaran berkata pada mikrofon, ketika ejen keselamatan membantunya kembali berdiri.

Ejen kemudiannya membawa hartawan berusia 78 tahun itu ke dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), sambil beliau sekali lagi dilihat mengangkat penumbuknya kepada orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 8:09 AM